‘King Oyen’ tarik perhatian pada raptai Hari Kebangsaan

Putrajaya: Meskipun bukan tetamu rasmi atau khas, kemunculan istimewa seekor kucing yang popular menerusi media sosial yang dikenali sebagai ‘King Oyen’ mencuri perhatian pada hari ketiga raptai separa perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan 2023, hari ini.

Dengan memakai pakaian berwarna Jalur Gemilang berserta tanjak songket dan cermin mata hitam, kucing berusia empat tahun itu dibawa pemiliknya, Siti Zalifah Abdul Aziz dengan menaiki basikal di Dataran Putrajaya seawal jam 6 pagi bagi menambah ‘mood’ Hari Kebangsaan, Khamis ini.

Orang ramai yang hadir melihat persiapan raptai sambutan Hari Kebangsaan itu nyata turut teruja dan mengambil foto bersama kucing berbulu oren itu selain ‘terpukau’ dengan persembahan perbarisan, perarakan, persembahan dan pertunjukan udara yang diterajui Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Siti Zalifah berkata kucing yang sangat patuh pada arahannya itu gemar berbasikal dengan beliau sejak 2020 dan haiwan fotogenik itu juga mesra dengan orang ramai.

King Oyen yang berpakaian jalur gemilang dan bertanjak bersama dengan pemilik kelihatan pada raptai Hari Kebangsaan (Sumber gambar – Harian Metro Online)

“Pakaian ini khas untuk memeriahkan suasana Hari Kebangsaan. Semangat kemerdekaan ini bukan hanya untuk kita, tetapi juga King Oyen.

“Tahun lalu, King Oyen datang sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur dan Khamis ini akan turut berada di sekitar Dataran Putrajaya,” katanya ditemui Bernama.

Katanya, semangat ‘patriotik’ kucing itu sangat tinggi apabila dilihat tidak penat menunggu berjam-jam di bawah cuaca panas untuk menyaksikan perarakan dan perbarisan Hari Kebangsaan.

King Oyen mula popular dengan video peragaan berserta ‘outfit of the day’ (OOTD) menerusi Instagram dan TikTok serta pernah menjadi bualan dalam media sosial apabila berbasikal bersama selebriti, Alif Satar, di Bukit Tunku pada Februari lalu.

King Oyen atau dengan nama ‘Macho Kingsley’ kini mempunyai 4,873 pengikut melalui Instagram. (Sumber Harian Metro Online)

Related Articles

[td_block_social_counter facebook="mykosmopolitan" twitter="tagdivofficial" youtube="tagdiv" style="style8 td-social-boxed td-social-font-icons" tdc_css="eyJhbGwiOnsibWFyZ2luLWJvdHRvbSI6IjM4IiwiZGlzcGxheSI6IiJ9LCJwb3J0cmFpdCI6eyJtYXJnaW4tYm90dG9tIjoiMzAiLCJkaXNwbGF5IjoiIn0sInBvcnRyYWl0X21heF93aWR0aCI6MTAxOCwicG9ydHJhaXRfbWluX3dpZHRoIjo3Njh9" custom_title="Stay Connected" block_template_id="td_block_template_8" f_header_font_family="712" f_header_font_transform="uppercase" f_header_font_weight="500" f_header_font_size="17" border_color="#dd3333" open_in_new_window="y" manual_count_facebook="525"]
- Advertisement -spot_img

Latest Articles