fbpx

Berat Badan 100 Kg Ke Atas? Ini Panduan Wanita Gemuk Tampil Kemas Sedap Mata Memandang

Masalah bagi wanita dengan berat badan 100 kilogram ke atas adalah dari segi pemilihan pakaian. Dengan pilihan pakaian yang sangat terhad di pasaran, ada ketikanya wanita bertubuh besar terpaksa memakai ‘apa yang ada’ sahaja. Jika ada pakaian bersaiz besar dari luar negara pun, lazimnya fabrik kurang sesuai dengan keadaan cuaca di tanah air kita.

Kosmopolitan mendapatkan informasi daripada Perunding Imej Profesional Bertauliah, Puan Hajar, bagi memberikan panduan kepada anda yang bertubuh besar supaya berpenampilan menarik. Beliau telah bergiat dalam bidang ini sejak tahun 2019.

Puan Hajar ketika salah satu sesi ceramah rundingan imej yang diadakan.

PERUT SAYA BUNCIT, NAK BUAT MACAM MANA?

Perut buncit bermaksud jenis badan berbentuk epal iaitu mempunyai lebihan isi padu pada bahagian tengah badan. Terdapat beberapa teknik untuk menutup bahagian perut yang membuncit tersebut.

1) Menggunakan fabrik berwarna gelap pada bahagian dada dan bawah. Sementara itu pakai pakaian berwarna lebih cerah pada bahagian atas badan. Sebagai contoh, sarung dress berwarna biru gelap dan padankan tudung berwarna biru cerah atau cair. 

2) Memakai pakaian dengan perincian pada bahagian bahu. Elak meletakkan sebarang perincian pada bahagian pinggang. Contoh perincian adalah seperti  manik, ropol dan reben. 

3) Menggunakan teknik panelling. Memakai baju, seluar dan tudung daripada warna sama. Kemudian dipadankan dengan jaket daripada warna berbeza. Sebagai contoh, anda pakai skirt, blouse dan tudung berwarna hitam Dipadankan dengan jaket bercorak daripada campuran warna merah dan hitam.

DAGU SAYA BERLAPIS, BOLEH KE WAJAH SAYA NAMPAK LEBIH TIRUS?

Individu dengan berat badan lebih 100 kilogram selalunya mempunyai masalah lemak pada bahagian bawah dagu. Jangan bimbang, ada solusinya untuk menutup kelemahan tersebut.

1) Sebelum menyarung tudung, pakai dahulu inner neck yang menutup dagu.

2) Pakai tudung atau selendang dengan gaya yang menutup lebihan lemak pada bawah dagu.

3) Untuk ilusi wajah menjadi lebih runcing, gayakan pemakaian tudung yang menutup bawah dagu, menutup lebihan pipi dan menambah ketinggian wajah.

MANA LEBIH MENARIK? BERSELUAR ATAU SKIRT?

Menurut Puan Hajar, individu dengan berat badan 100 kilogram tetap boleh tampil menarik sama ada mengenakan seluar mahupun skirt. Kedua-duanya boleh sahaja digayakan asalkan tekniknya betul. Antara panduan yang disarankan adalah:

1) Jika berseluar, boleh gayakan seluar yang berpotongan tegak supaya mencipta keseimbangan pada penampilan dari pinggang hingga ke bahagian bawah.

2) Elakkan memakai seluar atau skirt yang menampakkan bentuk kaki dan paha.

3) Pilih skirt atau seluar daripada warna gelap adalah salah satu cara mudah untuk sembunyikan saiz sebenar bentuk badan kita. 

ORANG TUBUH BESAR NI KENA PAKAI WARNA GELAP SAJA KE?

Pemilihan warna adalah subjektif. Teknik padanan warna itu lebih penting. Apa-apa sahaja warna boleh digayakan. Cuma padanan warna itu yang perlu diambil kira. 

Warna gelap bukan bermaksud semuanya perlu hitam. Deep blue, deep red, deep purple semua termasuk dalam kalangan warna gelap. Walaupun memakai warna gelap, tetap kita terlihat berseri dengan warna.

Hijau begini juga termasuk dalam kategori warna gelap yang sesuai dipakai oleh individu bertubuh besar.

Wanita bertubuh besar masih boleh memakai warna cerah. Cuma anda perlu highlight penampilan pada bahagian bahu dan ke atas. Anda boleh menggayakan baju dan skirt yang berwarna cerah, namun tambahkan aksesori pada bahagian bahu dan tudung. Contohnya memakai baju kurung berwarna hijau mint manakala tudung pula pilih yang bercorak. Perhatian orang ramai akan terlihat lebih pada bahagian tudung berbanding baju tadi. Ini salah satu teknik yang boleh diamalkan jika anda suka warna cerah. 

BOLEH KE SAYA PAKAI PAKAIAN BERCORAK?

Pemilihan pakaian yang bercorak pun boleh digayakan oleh individu bertubuh besar. Tidaklah bermaksud anda perlu mengenakan pakaian polos sahaja. Ini beberapa tip untuk memilih pakaian bercorak.

1) Biasanya corak yang dicadangkan adalah corak menegak untuk ilusi kurus. Namun ada satu lagi corak yang boleh dipilih iaitu corak diagonal atau pepenjuru. Corak ini juga boleh mengalihkan perhatian orang yang memandang dan anda terlihat lebih langsing.

Corak jalur ke bawah memberikan ilusi lebih langsing.

2) Bagi corak floral, pilih saiz floral yang lebih kecil berbanding corak floral yang besar. Senang cakap, pilih pakaian yang corak bunganya kecil-kecil.

KALAU BELI PAKAIAN SECARA ONLINE, MACAM MANA YA?

Trend membeli pakaian secara dalam talian juga adalah trend terkini yang rata-rata digunakan oleh ramai orang. Walaupun agak tricky untuk membeli pakaian plus size, namun masih ada cara lebih selamat untuk anda.

1) Teliti informasi ukuran badan dan ukuran pakaian pada sizing chart.

2) Beritahu penjual mengenai berat badan anda dan tinggi anda supaya mereka boleh cadangkan saiz yang paling sesuai.

3) Baca review daripada pelanggan lain. Rujuk informasi berat badan dan tinggi pelanggan terdahulu serta saiz pakaian yang mereka beli. Sesuaikan dengan diri anda.

Kesimpulannya, walaupun bertubuh besar dan sukar memilih pakaian, namun penampilan yang sedap mata memandang masih boleh diusahakan. Panduan memilih potongan pakaian, warna dan corak perlu diperhatikan sebelum membeli pakaian.

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles