ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya membalas dendam apabila menewaskan Ulsan Hyundai 2-1 pada aksi Kumpulan I saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, sebentar tadi.
Kemenangan itu membuka semula peluang skuad kendalian Esteban Solari untuk menempatkan diri ke pusingan 16 pasukan terbaik selepas mengumpul enam mata hasil kemenangan ke atas juara Liga K1 Korea (Liga K1) itu yang turut mengumpul mata yang sama tetapi berada di tangga kedua kerana kelebihan jaringan.
Misi seterusnya anak didik Solari perlu mengharungi aksi lebih mendebarkan apabila berdepan Kawasaki Frontale, 28 November ini di gelanggang lawan sebelum kembali ke Iskandar Puteri untuk berdepan BG Pathum United, 12 Disember nanti.
Turun dengan misi membalas dendam kekalahan 1-3 pada pusingan pertama 24 Oktober lalu, JDT memberi tekanan seawal minit pertama terhadap benteng pertahanan Ulsan Hyundai apabila bola lorongan Fernandes menyaksikan Oscar Arribas bertindak menyusup masuk ke dalam kotak penalti tetapi benteng pelawat sempat memintas bagi mengelak Arribas melakukan rembatan.
Malang, buat Fernando Forestieri yang sepatutnya membuka tirai jaringan selepas memiliki dua peluang pada minit ke-10 apabila rembatan awal hasil bola lorongan Arif Aiman Hanapi berjaya ditampan penjaga gol, Jo Hyeon-woo.
Disusuli peluang kedua apabila Forestieri bertindak melencongkan bola yang menyaksikan Hyeon-woo sudah hilang imbangan bagi menghalang bola namun tiang gol menjadi penyelamat kelab yang baru muncul juara Liga 1 Korea itu.
Skuad bimbingan Hong Myung-bo yang turun tanpa kelibat ayam tambatan, Gustav Ludwigson di posisi serangan ternyata tampak kurang efektif sepanjang 25 minit permainan apabila hanya mempertaruhkan Ataru Esaka dan Kim Ji-hyun mengemudi jentera serangan.
Sekali lagi gawang gol menjadi penghalang buat JDT merungkai jaringan apabila bola sepakan lencong Bergson Da Silva pada minit ke-40 yang sudah memerangkap Hyeon-woo selepas menerima hantaran Fernandes hanya singgah di palang gol.
Akhirnya ketika aksi babak pertama berbaki seminit untuk ditamatkan, lebih 20,000 penyokong tuan rumah bersorak gembira menyambut jaringan Fernandes yang sempat mendada bola hasil bola umpanan Afiq Fazail sebelum memusingkan badan dan merembat bola leret yang terkena tiang di sebelah kiri dan terus masuk menewaskan Hyeon-woo untuk meletak JDT mendahului 1-0.
Sebaik babak kedua bermula, Ulsan Hyundai terus menerima tekanan dan pada minit ke-48 tiang gol bagaikan menjadi igauan ngeri buat anak didik Solari selepas bola sepakan percuma Fernandes di luar kotak penalti terkena tiang sebelah kiri ketika Hyeon-woo sudah tertewas.
Namun kesilapan benteng JDT yang membiarkan Esaka bergerak bebas di dalam kotak penalti membolehkan pemain import dari Jepun itu bangkit menyamakan jaringan pada minit ke-68 selepas mudah menewaskan penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed untuk kedudukan 1-1.
Ketika aksi berbaki tiga minit untuk ditamatkan dan tampak berakhir dengan keputusan seri 1-1, berpunca daripada serang balas pantas menyaksikan Arif Aiman bijak melorongkan bola bagi membuka ruang buat pemain gantian Akhyar Rashid yang tidak sampai seminit masuk, bertindak merembat bola leret menewaskan Hyeon-woo dan kedudukan 2-1 kekal memihak JDT. (Sumber Berita Harian Online)