LONDON: Senarai nama 100 pemain bola sepak terbaik di dunia sudah dikeluarkan dan nama Cristiano Ronaldo tiada di dalamnya.
Ketika tahun 2023 semakin hampir melabuhkan tirainya, majalah FourFourTwo mengumpul senarai pemain paling berpengaruh sejak tahun lalu.
Pemain seperti Bruno Fernandes, Gabriel Martinelli, James Maddison, Virgil van Dijk dan Son Heung Min semuanya disenaraikan dalam 100 terbaik, namun nama pemenang Ballon d’Or lima kali Ronaldo tersingkir.
Walaupun menjaringkan 34 gol dan membuat 12 umpanan gol dalam 41 penampilan bersama Al-Nassr sejak menyertai kelab itu secara perpindahan percuma pada Januari, legenda Real Madrid itu tidak lagi dianggap sebagai antara pemain terbaik di dunia.
Bagaimanapun, musuh lamanya Lionel Messi masih berada dalam kelompok 100 terbaik.
Messi, yang memenangi anugerah Ballon d’Or dengan rekod lapan kali pada Oktober lalu, disenaraikan sebagai pemain keenam terbaik di dunia oleh FourFourTwo susulan kejayaannya bersama Argentina pada Piala Dunia.
Beberapa bintang Manchester City juga disenaraikan dalam 100 terbaik dengan John Stones, Kevin De Bruyne, Bernardo Silva dan Rodri antara kalangan 20 terbaik.
Bintang Arsenal, Bukayo Saka terlepas peluang untuk menyertai kelompok 10 terbaik apabila berakhir di tangga ke-11, manakala Declan Rice dinamakan dalam kelompok 20 pemain terbaik dunia.
Senarai panjang itu diungguli pemenang treble Erling Haaland dari Norway.
Haaland menyertai Manchester City pada musim panas tahun lalu dan tidak berdepan masalah untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan di Liga Perdana Inggeris (EPL).
Dia menyumbat 52 gol dalam 53 perlawanan bagi semua pertandingan ketika musim sulungnya di Etihad dan memenangi kejuaraan EPL, Piala FA Inggeris dan Liga Juara-Juara. – (Sumber Berita Harian Online)