Kuala Lumpur: “Itu bukan Aman Graseka, percayalah!,” kata penyanyi, Mas Idayu mengenai bekas suami yang juga pelakon Aman Graseka didakwa mengalami kesukaran hidup sehingga memohon bantuan kewangan daripada rakan artis.
Pemilik nama Mas Idayu Mesnun, 51, itu berkata, dia mengenali Aman dan percaya bekas suaminya bukanlah seorang yang suka meminta-minta bantuan kewangan rakan artis.
Justeru, katanya, Aman bukanlah insan di sebalik mesej mohon bantuan kewangan yang tersebar itu.
Namun, Mas Idayu tak menafikan agak terperanjat apabila nama Aman tular susulan isu berkenaan.
“Saya sokong rakan artis seperti Sharifah Shahirah dan Ellie Suriaty yang percaya itu bukan Aman. Ini adalah perbuatan ‘scammer’ dalam rumahnya sendiri.
“Saya tak mahu tuduh sesiapa, tapi saya percaya ini adalah tindakan orang yang selalu kawal telefon Aman, soalnya siapa?
“Aman sampai sekarang berdiam diri dan mungkin tak tahu. Ini kerana telefonnya dikawal. Sebabnya, Sharifah Shahirah ada beritahu selepas hantar mesej, ‘orang itu’ padam semula,” katanya.
Terdahulu, penyampai radio Suria FM, Sharifah Shahirah memuat naik perkongsian dalam Instagram mengenai Aman atau Aman Shah Baharom Shah, 56, yang meminta bantuan kewangan untuk beri makan anak-anaknya.
Menurut Mas Idayu, dia hairan Aman tidak meminta bantuan daripada anaknya, Nur Dayini Asyiqah, 26, yang kini sudah berkerja, justeru percaya permintaan yang tular itu bukanlah daripada Aman.
“Dalam telefon Aman, nombor telefon rakan artis dan orang yang pernah bekerjasama ada. Habis nombor ini digunakan untuk mencari duit.
“Aman tak cari anaknya, Nur Dayini sebab nombor telefon sudah disekat. Tapi, saya tak yakin Aman sekat nombor telefon anaknya.
Mas Idayu berkata, dia agak keberatan memberikan komen berikutan mahu menjaga perasaan suaminya yang juga penerbit, Sufian Isa.
Bagaimanapun, katanya, dia percaya apa yang dikatakan untuk kebaikan dan suaminya tentu memahami.
Berikutan itu, Mas Idayu mendoakan kesejahteraan Aman dan berharap bekas suaminya itu mengetahui apa yang berlaku, lantas mengambil tindakan sewajarnya.
“Saya sudah tiada kena mengena dengan Aman, tapi dia tetap bapa kepada anak kami. Saya percaya kenyataan saya ini dapat membantu Aman.
“Jadi, saya cuma doakan Aman sihat dan tiada gangguan apa-apa. Sebab Aman yang kenali seorang waras dan sihat.
“Saya harap Aman perlu tahu mengenai perkara ini daripada sesiapa. Tutuplah akaun bank dan padamkan nombor telefon yang tersebar.
“Saya percaya ‘orang itu’ boleh tengok semua perkongsian, manakala Aman pula tak tengok kerana telefonnya dikawal.
“Tak penatkah memantau untuk selamatkan diri? Jadi, saya berharap nombor telefon itu dapat dipadamkan. Saya juga harap orang Malaysia siasat betul-betul sebelum memberikan pertolongan,” katanya. (Sumber Harian Metro Online)