Tyzo masih menunggu tawaran

KUALA LUMPUR: Tak dapat gambarkan perasaannya apabila tidak berkumandang di udara sejak Isnin lalu, penyampai radio Suria FM, Tyzo Xander masih menanti peluang yang datang.

Ramai menaruh harapan agar stesen radio Hot FM melamarnya sebagai penyampai radio apabila team Bekpes Hot yang diterajui Khairy Jamaluddin (KJ), Fara Fauzana, AG dan Johan menghubunginya, Isnin lalu.

Namun, kata Tyzo, panggilan itu hanyalah untuk mendapatkan kepastian umurnya yang menjadi perdebatan ramai apabila ramai menyangka dirinya berusia 57 tahun.

“Panggilan pasukan Bekpes Hot kelmarin hanyalah untuk bertanya usia sebenar saya kerana ramai bertanyakan soal ini. Selain itu, tiada perkara lain dibincangkan berkaitan kerjaya saya.

“Saya masih lagi menunggu peluang dan ruang. Kalau boleh saya ingin cepat bekerja demi kelangsungan hidup saya dan anak.

Tyzo bersama trofi Penyampai Radio Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35

Jujurnya, saya berasa amat sedih tidak dapat ke udara sejak Isnin lalu,” katanya kepada BH Online.

Ditanya bagaimana perkembangan bakal bertemu dengan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, Tyzo atau nama sebenarnya, Tuah Zolqarnain Idris berkata, setakat ini, masih belum ada kisah boleh dikongsikan susulan pertemuan mereka di sebuah pusat beli-belah itu.

“Buat masa ini, saya belum buat tindakan susulan selepas terserempak dengan Fahmi, Sabtu lalu,” katanya.

Penamatan kontrak Penyampai Radio Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35 itu mendapat perhatian luar biasa sehingga menjadi perdebatan pendengar yang tidak berpuas hati keputusan dibuat pengurusan tertinggi stesen radio Suria FM, sedangkan slot kendalian Tyzo dan Sharifah Shahirah atau Rara menjadi pilihan pendengar pada waktu petang.

Ramai peminat penyampai radio berusia 47 tahun itu mengugut mahu memboikot stesen radio Suria FM, tidak kurang juga berharap ada stesen radio lain yang berminat untuk menawarkan pekerjaan kepada Tyzo.

Tyzo dan Sharifah Shahirah atau Rara sewaktu mengendalikan Suria Petang

Sementara itu, penamatan kontrak Tyzo itu bukan sahaja mendapat perhatian stesen radio pesaing dan Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman bagi membincangkan kerjasama boleh dilakukan untuk memperkukuhkan jenama Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Malah, ada juga peminat yang turut menawarkan pakej melancong ke luar negara membabitkan empat negara, Iceland, Norway, Switzerland dan New Zealand.

Mengakui terharu sokongan luar biasa termasuk tawaran percutian diterima peminat, namun Tyzo memohon maaf kerana tidak dapat memenuhi tawaran berkenaan.

“Sebenarnya saya sangat menghargai tawaran diberikan, tapi anak saya masih bersekolah. Saya bukan seseorang yang suka tinggalkan anak dalam tempoh yang sangat lama.

“Saya juga tak sampai hati tinggalkan anak, melainkan jika tunaikan umrah.

“Bagi saya, kalau nak rawat hati tempat yang paling sesuai adalah Tanah Suci Makkah. Di situ barulah saya akan dapat ketenangan, mungkin saya boleh berfikir dengan baik.

“Kalau bercuti-cuti ke negara empat musim mungkin bukan sekarang. Lagipun, saya tidak mahu lari daripada kebenaran,” katanya. (Sumber Berita Harian Online)

Related Articles

[td_block_social_counter facebook="mykosmopolitan" twitter="tagdivofficial" youtube="tagdiv" style="style8 td-social-boxed td-social-font-icons" tdc_css="eyJhbGwiOnsibWFyZ2luLWJvdHRvbSI6IjM4IiwiZGlzcGxheSI6IiJ9LCJwb3J0cmFpdCI6eyJtYXJnaW4tYm90dG9tIjoiMzAiLCJkaXNwbGF5IjoiIn0sInBvcnRyYWl0X21heF93aWR0aCI6MTAxOCwicG9ydHJhaXRfbWluX3dpZHRoIjo3Njh9" custom_title="Stay Connected" block_template_id="td_block_template_8" f_header_font_family="712" f_header_font_transform="uppercase" f_header_font_weight="500" f_header_font_size="17" border_color="#dd3333" open_in_new_window="y" manual_count_facebook="525"]
- Advertisement -spot_img

Latest Articles