Peluk Islam selepas ketahui hubungan kekeluargaan tidak terputus

PULAU PINANG – Rasa tenang, gembira dan sejuk hati selain segala permasalahan selesai.

Itulah antara luahan perasaan dua orang mualaf sebaik sahaja mereka melafazkan dua kalimah syahadah.

Perasaan itu ditambah pula dengan ajaran Islam bahawa hubungan kekeluargaan  tidak pernah terputus dan menjadi tanggungjawab untuk  terus menjaga ibu bapa yang masih hidup walaupun ahli keluarga berkenaan berlainan agama.

Inilah yang diakui oleh Khoo Chin Wah, 50, dan Ong Boon Eng, 40, melepas melafazkan syahadah yang dipimpin oleh Penaung Persatuan Infaq Kebajikan Umah Takaful Pulau Pinang (IKUT), Zolkifly Md. Lazim di sebuah restoran di Komtar di sini.

Bagi Chin Wah, sebelum ini dia merasakan pelbagai masalah datang bertali arus menimpanya hinggakan dia tercari-cari jawapan dalam kehidupan terutama apabila terpaksa bertukar dari satu pekerjaan ke pekerjaan lain.

Menurutnya, dia pernah berkerja di kebun durian di Sungai Ara dan Batu Gantung beberapa tahun lalu dengan pendapatan RM3,000 sebulan.

“Namun, pekerjaan itu tidak bertahan lama kerana pendapatan diperolehi bergantung pada musim buah.

“Setelah sekian lama hilang pendapatan, kini saya bekerja di sebuah restoran sebagai pelayan dengan pendapatan yang sedikit.

“Namun hari ini saya rasa sejuk hati dan seolah-olah segala masalah telah selesai selepas melafazkan syahadah,” katanya.

Chin Wah berkata, dia sejak tiga tahun lalu sudah berminat memeluk agama Islam apabila mendapati kehidupan seorang bapa saudaranya begitu tenang setelah sekian lama melafazkan syahadah.

“Saya tercari-cari  pihak yang betul-betul dapat  membimbing saya memeluk Islam. Hari ini saya telah berjumpa dengan IKUT dan saya akan menjalani kursus berkaitan agama Islam.

“Saya diajar agar terus menjaga ibu walaupun saya sudah lama tidak tinggal dengan ibu. Islam mengajar saya untuk terus berhubung dan menjenguk ibu walaupun ibu berlainan agama,” katanya yang tinggal di sebuah bilik di tempat kerjanya.

Bagi Boon Eng pula, perasaan tenang juga dapat dirasakan setelah melafazkanb syahadah.

Menurutnya, sejak lebih dua tahun lalu perasaannya begitu tertekan setelah kematian suaminya dipercayai akibat Covie-19.

Sejak itu, kata Boon Eng, dia cepat marah dan menyalahkan sesiapa sahaja hinggakan dia merasakan kehidupannya sudah berakhir.

“Saya seolah-olah tidak mahu jumpa orang. Kalau bekerja cuci pinggan pun saya akan berada di belakang kedai dan tidak mahu jumpa orang.

“Disebabkan itu, saya terpaksa meletakkan anak lelaki saya berusia 12 tahun di pusat jagaan anak-anak yatim.

“Saya rasakan jika anak ada bersama, saya tidak dapat menjaga dan menyekolahkannya. Tambahan pula saya tiada pendapatan tetap,” katanya yang mendapat bantuan bulanan RM520 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Menceritakan lebih lanjut, Boon Eng berkata, masalahnya kian parah apabila tidak mempunyai rumah sendiri dan terpaksa menumpang di rumah kawannya.

“Tapi hari ini, saya rasa lebih  tenang selepaskan lafazkan syahadah dan yakin Islam akan menjaga orang-orang seperti saya,” katanya.

Sementara itu, Zolkifly memberitahu, setiap saudara baharu itu akan menjalani kursus berkaitan agama Islam selama tiga hari  di Permatang Tok Gelam yang dianjurkan Jabatan Agama Islam negeri  sebelum urusan pendaftaran mereka dilalukan.

“IKUT juga akan memberi mereka kursus di bawah program ‘Dakwah Jalanan’ berkaitan agama Islam setiap minggu yang dipimpin oleh mualaf lain.

“Konsep Dakwah Jalanan ini berlainan sedikit kerana ia dianjurkan dalam bahasa Hokkien dan di premis-premis seperti restoran atau kafe milik pengusaha mualaf yang secara sukarela menawarkannya.

“Dakwah Jalanan ini diadakan secara berterusan melibatkan farduh kifayah dan ain termasuk berkaitan solat, puasa, pemakaian tudung dan sebagainya,” katanya.

Related Articles

[td_block_social_counter facebook="mykosmopolitan" twitter="tagdivofficial" youtube="tagdiv" style="style8 td-social-boxed td-social-font-icons" tdc_css="eyJhbGwiOnsibWFyZ2luLWJvdHRvbSI6IjM4IiwiZGlzcGxheSI6IiJ9LCJwb3J0cmFpdCI6eyJtYXJnaW4tYm90dG9tIjoiMzAiLCJkaXNwbGF5IjoiIn0sInBvcnRyYWl0X21heF93aWR0aCI6MTAxOCwicG9ydHJhaXRfbWluX3dpZHRoIjo3Njh9" custom_title="Stay Connected" block_template_id="td_block_template_8" f_header_font_family="712" f_header_font_transform="uppercase" f_header_font_weight="500" f_header_font_size="17" border_color="#dd3333" open_in_new_window="y" manual_count_facebook="525"]
- Advertisement -spot_img

Latest Articles