fbpx

Abdul Taib dana rizab RM31 bilion sepanjang kepemimpinannya

KUALA LUMPUR: Bekas Yang Dipertua Negeri dan Ketua Menteri Sarawak Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud meninggalkan legasi yang kukuh untuk ekonomi negeri itu, apabila berjaya meletakkan dana rizab negeri sebanyak RM31 bilion pada 2018.

Naib Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Nancy Shukri yang berkongsi perkara itu dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam tadi, berkata dengan rizab sebanyak itu, kerajaan Sarawak tidak berasa risau apabila tiba-tiba menjadi pembangkang ketika Pakatan Harapan (PH) mengambil alih tampuk kepimpinan Kerajaan Persekutuan, susulan kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 2018.

“Sebelum ini banyak (dakwaan) yang diperkatakan mengenai beliau (sewaktu menjadi Ketua Menteri), tetapi apabila BN kalah pada PRU 2018 dan beliau tidak lagi menjadi Ketua Menteri, ketika itu maka timbullah kebenaran terhadap apa yang beliau usahakan untuk Sarawak, berbanding dengan mana-mana negeri di Malaysia kerana dana rizab ketika itu ialah RM31 bilion.

“Masa itu, Sarawak yang mempunyai banyak dana rizab yang boleh digunakan apabila kita tidak lagi berada dalam Kerajaan Persekutuan masa itu dan telah menjadi pembangkang.

“Bagaimanapun, apabila pentadbiran Sarawak diambil alih oleh Ketua Menteri baharu Allahyarham Tan Sri Adenan Satem dan kini Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg, kedua-dua mereka tidak menggunakan dana rizab itu, kerana masih mempunyai peruntukan yang lain yang boleh digunakan untuk membangunkan Sarawak,” kata Nancy yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Datuk Seri Nancy Shukri berkata dengan rizab sebanyak itu, Kerajaan Sarawak  Ketika itu tidak risau walaupun menjadi pembangkang ketika Pakatan Harapan (PH) mengambil alih tampuk kepimpinan Kerajaan Persekutuan

Nancy berkata, pada masa ini, dapat dilihat bahawa Premier Sarawak meneruskan legasi itu dengan membawa lebih banyak lagi ekonomi baharu, termasuk dalam bidang teknologi hidrogen bagi menjana pendapatan yang lebih banyak kepada Sarawak.

Sementara itu, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Pengkomersialan, Fakuliti Ekonomi dan Perniagaan, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Prof Dr Evan Lau Poh Hock berkata, kebijaksanaan pemikiran Allahyarham dalam merangka belanjawan dan strategi pembangunan, yang memungkinkan Sarawak mendapat kemakmuran ekonomi dan insfrastruktur pada era kepimpinannya sebagai Ketua Menteri, menjadikan beliau selayaknya digelar sebagai ‘Arkitek Ekonomi Sarawak’.

Pakar ekonomi itu berkata dengan pemikiran ke depan, Abdul Taib telah mewujudkan beberapa kawasan industri di Sarawak, antaranya Sama Jaya High-Tech Park di Kuching dan Samalaju Industrial Park (Bintulu), bagi menarik kedatangan pelabur luar ke negeri berkenaan.

Prof Dr Evan Lau Poh Hock (UNIMAS) berkata, kebijaksanaan pemikiran Allahyarham dalam merangka belanjawan dan strategi pembangunan, yang memungkinkan Sarawak mendapat kemakmuran ekonomi dan insfrastruktur pada era kepimpinannya  dan layak digelar ‘Arkitek Ekonomi Sarawak’

Lau berkata, langkah itu dirintiskan kerana Abdul Taib yang menjadi Ketua Menteri Sarawak paling lama iaitu selama 33 tahun, tidak mahu menunggu sokongan daripada Kerajaan Persekutuan semata-mata bagi menarik pelabur asing, sebaliknya berpendirian bahawa Sarawak perlu mempunyai alternatif sendiri.

“Hasil kewujudan kawasan industri itu, banyak syarikat luar (asing) telah membuka kilang di sini (Sarawak), sekali gus mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan, yang membantu penduduk Sarawak meningkatkan ekonomi mereka dan merintis laluan untuk pemindahan teknologi baru. Ini perancangan jitu beliau.

“Beliau enggan bergantung sepenuhnya terhadap peruntukan pembangunan yang diterima daripada Kerajaan Persekutuan setiap tahun, sebaliknya menegaskan Sarawak mesti mempunyai hasil sendiri melalui aktiviti eksport, yang hasilnya boleh diterjemahkan dalam bentuk tambah lain untuk pembangunan luar bandar, infrastruktur dan kegiatan ekonomi,” katanya.

Abdul Taib, 87, meninggal dunia di sebuah hospital di sini kira-kira 4.40 pagi Rabu dan jenazahnya selamat dikebumikan pada 2.19 petang, semalam di tanah perkuburan keluarga di Demak Jaya di Kuching, Sarawak. – (Sumber Berita Harian)

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles