fbpx

Amir mengambil simbolik solidariti terhadap Palestin ketika menyampaikan lagu Hasrat

KUALA LUMPUR: Solidariti terhadap rakyat Palestin menjadi simbolik dipaparkan Amir Jahari ketika mendendangkan lagu ciptaannya, Hasrat yang mengungguli Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-38, malam tadi.

Amir yang menyentuh emosi penonton di Axiata Arena, Bukit Jalil dan di rumah dengan persembahan ringkas, namun, berkesan, menjelaskan idea persembahan itu dicetuskan bekas syarikat pengurusannya bagi disesuaikan dengan tema AJL 38, iaitu Muzikaverse.

“Disebabkan Hasrat adalah runut bunyi filem Imaginur, saya fikir mahu tampilkan pelakon naskhah itu sahaja. Bagaimanapun, untuk disesuaikan dengan tema, kami gabungkan dengan sesuatu yang bersifat universal.

“Apabila saya buka aplikasi X dan banyak membaca mengenai kekejaman di Palestin, timbul idea untuk tampilkan konsep solidariti dalam persembahan saya.

Persembahan Amir Jahari ketika final AJL ke 38 yang mengambil simbolik solidariti terhadap rakyat Palestin

Melalui visual yang menggambarkan pokok dengan daun berguguran dan tulisan jawi, semuanya adalah nama-nama individu yang mati syahid.

“Semua nama dipapar diakui benar dan kami dapat daripada sumber sah,” katanya pada sidang media sebaik berakhirnya AJL 38 di sini, malam tadi.

Pada malam kemuncak AJL 38, Amir yang diangkat juara, membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 dan trofi.

Naib juara AJL ke 38 Aisha Retno yang turut memenangi persembahan terbaik

Naib juara AJL 38 menjadi milik lagu Sutera nyanyian dan ciptaan Aisha Retno dan MFMF. Mereka membawa pulang wang tunai RM50,000 dan trofi.

Menduduki tempat ketiga lagu Jangan Mati Rasa Itu nyanyian dan ciptaan Aina Abdul. Atas kemenangan itu, Aina menerima wang tunai RM30,000 dan trofi.

Amir atau nama sebenar, Mohamad Amirullah Jahari, 32, mengakui perasaannya tersentuh ketika menyanyikan lagu itu. Amir terbayang wajah arwah ayahnya, Jahari Seman yang meninggal dunia pada 20 Mei 2022 akibat kanser.

Aina Abdul memenangi tempat ketiga serta memenangi anugerah Vokal Terbaik dan Penyanyi Pilihan Alha Alfa

“Ketika hendak buat persembahan, saya sangat teruja. Namun, pada masa sama, saya sebak kerana terbayang arwah ayah duduk di hadapan saya.

“Perasaan itu terkait kerana kisah kesedihan saya akibat kehilangan ayah diabadikan dalam lirik lagu itu,” katanya.

Mengulas proses pembikinan lagu Hasrat, anak jati Kuching, Sarawak itu memberitahu dendangan itu dicipta dalam tempoh 10 minit.

“Disebabkan lagu itu dicipta berdasarkan pengalaman peribadi, idea datang mencurah-curah. Saya hanya ambil masa 10 minit untuk menyiapkan melodi dan liriknya.

“Lagu Hasrat dicipta ketika negara sedang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19, jadi, proses rakaman dilakukan di rumah sahaja.

“Saya bersyukur orang suka dengan lagu itu,” katanya.

Ini adalah penyertaan kali kedua Amir di pentas AJL. Pada AJL 27, Amir mempertaruhkan lagu Tanpamu. (Sumber Berita Harian Online)

Related Articles

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles