‘Jangan pinggirkan kami’ – mualaf

Hidayah itu milik Allah SWT. Dengan kata hanya Allah sahaja yang menentukan kepada siapa hidayah itu akan diberi.

 Bagi golongan mualaf yang melafazkan dua kalimah syahadah, pelbagai perasaan seperti tenang, damai, gembira dan sejuk hati dirasakan sebaik sahaja bersyahadah.

 Malah, perasaan itu lebih menggembirakan apabila mengetahui khabaran   bahawa sebaik sahaja bersyahadah segala dosa yang dilakukan sejak dulu lagi, dihapus dan diampuni  oleh Allah SWT.

Di samping itu, syahadah dilafaz menjadikan setiap insan bergelar muslim itu bersaudara.  Pada masa sama, hubungan kalangan mualaf dengan ahli keluarga yang berlainan agama tidak pernah terputus.

Malah, Islam turut mengingatkan golongan mualaf agar sentiasa menjaga kebajikan, perasaan hati  serta makan minum kedua ibu bapa mereka.

Hubungan kekeluargaan dan persaudaraan ini menjadi antara daya tarikan membawa kepada seseorang itu bersyahadah.

Namun, di sebalik kegembiraan bergelar muslim, tidak dinafikan ada juga rintangan yang perlu ditempuhi.

Penaung Persatuan Infaq Kebajikan Umah Takaful Pulau Pinang (IKUT), Zolkifly Md. Lazim berpandangan antara cabaran mualaf ialah penjelasan mengenai agama Islam kepada mereka yang kurang fasih berbahasa Melayu.

Dalam hal ini, sebagai contoh, ramai kalangan mualaf seperti di Pulau Pinang yang memerlukan penjelasan mengenai Islam dalam bahasa Mandarin, Hokkien, Tamil dan sebagainya.

“Sebaik sahaja melafazkan syahadah, IKUT akan bantu uruskan pendaftaran mereka dengan Jabatan Agama Islam negeri termasuk keperluan menjalani kursus berkaitan fardu kifayah dan fardu ain selama tiga hari,” kata Zolkifly.

Namun, kursus tiga hari itu  belum memadai kerana kemungkinan besar mualaf terbabit kurang memahami sepenuhnya hukum-hakam dalam Islam terutama penghayatan Rukun Islam dan Rukun Iman.

Disebabkan ketiadaan penjelasan agama Islam menggunakan selain bahasa Melayu, ada mualaf yang kecewa apabila merasakan seolah-olah tersisih.

Sehubungan itu, IKUT telah memperkenalkan ‘Dakwah Jalanan’  kepada golongan mualaf  dengan  menggunakan bahasa Hokkien, Mandarin dan Tamil.

“IKUT sediakan penceramah atau guru untuk mengajar mualaf di bawah program Dakwah Jalanan. Kita sedia guru-guru termasuk dari kalangan mualaf sendiri yang mahir berbahasa Hokkien, Tamil dan sebagainya.,’’ katanya.

Selain itu, tidak kurang juga ada mualaf yang disisihkan keluarga dan mereka ini memerlukan tempat tinggal serta pekerjaan.

Pada masa ini, ia menjadi tugas berat kepada pihak-pihak terbabit untuk terus membantu golongan mualaf mendapatkan tempat tinggal dan pekerjaan, kerana ia akan memberi gambaran sebenar Islam dalam membantu mereka.

 “Saya terpaksa menumpang di rumah kawan setelah disisihkan. Saya cuba dapatkan bantuan daripada pihak berkuasa Islam, pertubuhan Islam dan rakan-rakan. Saat ini memang betul-betul mencabar akidah saya.

“Tapi saya yakin, rezeki itu milik Allah SWT. Saya yakin Allah akan membantu hambaNYA  yang dalam kesusahan,” kata Ahmad Basri Abdullah, 58.

Beliau yang telah 17 tahun memeluk Islam berpandangan, pengajaran dan penerangan agama Islam menggunakan bahasa  Hokkien, Tamil dan sebagainya amat penting.

Ini kerana katanya, cara itu membolehkan lagi pemahanan lebih jelas apabila berkaitan dengan hukum-hakam dan sebagainya.

Menceritakan pengalamannya ketika mula-mula bersyahadah, dia telah dihalau keluar dan terpaksa tidur di hentian bas.

“Memang sedih memikirkan keadaan itu. Tapi Allah SWT memperteguhkan keimanan saya. Saya tetap berpegang kepada agama Islam.

“Ini belum lagi cabaran saya terpaksa berdepan dengan serangan fizikal dari orang-orang  yang tidak berpuas hati,” katanya tanpa enggan menjelaskan lebih terperinci.

Selain itu, Ahmad Basri itu juga berpendapat, antara cabaran lain bagi seseorang mualaf ialah tempat tinggal dan pekerjaan.

Baginya, selagi seseorang mualaf itu sihat, dia tetap mahu berdikari dan mencari pendapatan sendiri.

“Namun, kelas-kelas agama Islam hendaklah diterus dan diperluaskan lagi,” katanya yang boleh berbahasa Hokkien, Mandarin dan Tamil.  Kemahirannya itu diguna untuk membantu saudara baharu lain dengan memberi penerangan mengenai agama Islam.

 Bagi Jasir Cheah, 54, seorang pengusaha makanan di Kompleks Bukit Jambul, Pulau Pinang, perasaan tenang dirasakan sebaik sahaja bersyahadah pada Mei 2023.

“Saya jalani kursus asas pemahaman Islam selama tiga hari. Tapi itu belum mencukupi kerana banyak perkara lain yang perlu difahami dan menjadi pertanyaan.

“Ketika itu saya memerlukan keterangan lebih lanjut. Tapi mujurlah saya ada keluarga angkat dari kalangan orang Melayu yang membantu saya memahami lebih lanjut mengenai Islam.

“Walaupun buku-buku mengenai solat ada disediakan tetapi seseorang mualaf itu memerlukan penerangan yang lebih lanjut mengenai sesuatu perkara berkaitan Islam. Dengan kata lain cara praktikal,” katanya.

Jasir juga berpandangan, sudah tiba masanya buku-buku mengenai Islam dalam bahasa Mandarin, Hokkien, Tamil dan sebagainya, diperbanyakkan bagi memudahkan pemahaman oleh golongan mualaf bukan Melayu.

Itulah antara pengalaman, cabaran dan dilema seseorang mualaf. Memang mereka ini ingin mendalami ilmu agama namun pihak-pihak berkaitan perlulah membantu golongan ini.

Dalam hal in, pihak berkuasa agama Islam dan pertubuhan bukan kerajaan yang berkaitan, perlulah melipatgandakan usaha bagi membantu serta menyelesaikan segala permasalahan mualaf.

 Walaupun setiap usaha itu melibatkan penggunaan kewangan yang amat besar, namun demi memperkukuh serta mempertahankan agama Islam, ia adalah sesuatu yang perlu dan tidak merugikan.

Lakukanlah usaha membantu golongan mualaf ini secara berterusan walaupun ia ‘memenatkan’. Namun demi memperteguhkan agama Islam, terimalah hakikat bahawa selagi dunia ini wujud, usaha-usaha berkaitan agama Islam tidak boleh terhenti.

Di samping itu,  padangan serong dari orang yang seagama juga tetap ada dan keadaan ini sedikit sebanyak akan memberi kesan negatif pada saudara-saudara baharu.

Menjaga kebajikan dan keperluan golongan mualaf  secara langsung mampu memberi gambaran baik mengenai agama Islam itu sendiri selain pandangan sifat prihatin yang dimiliki oleh masyarakat  Islam di negara ini.

Related Articles

[td_block_social_counter facebook="mykosmopolitan" twitter="tagdivofficial" youtube="tagdiv" style="style8 td-social-boxed td-social-font-icons" tdc_css="eyJhbGwiOnsibWFyZ2luLWJvdHRvbSI6IjM4IiwiZGlzcGxheSI6IiJ9LCJwb3J0cmFpdCI6eyJtYXJnaW4tYm90dG9tIjoiMzAiLCJkaXNwbGF5IjoiIn0sInBvcnRyYWl0X21heF93aWR0aCI6MTAxOCwicG9ydHJhaXRfbWluX3dpZHRoIjo3Njh9" custom_title="Stay Connected" block_template_id="td_block_template_8" f_header_font_family="712" f_header_font_transform="uppercase" f_header_font_weight="500" f_header_font_size="17" border_color="#dd3333" open_in_new_window="y" manual_count_facebook="525"]
- Advertisement -spot_img

Latest Articles