KUALA LUMPUR – Pemilihan parti Bersatu pada Sabtu ini pasti menarik perhatian ramai termasuk parti-parti politik luar memandangkan terdapat beberapa pertandingan terutama bagi jawatan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (AMPT) parti.
Sehubungan itu, ahli-ahli Bersatu digesa dan diingatkan agar bertanding secara bersih kerana semua mata akan memandang ke arah pemilihan berkenaan.
Setiausaha Penerangan Bersatu Negeri Perak, Datuk Dr. Zulkifli Abdul Aziz berkata, pertandingan dalam pemilihan itu membuktikan bahawa Bersatu sentiasa mengamalkan sistem demokrasi dan kebebasan kepada ahli-ahlinya.
Jelasnya, amalan demokrasi yang sihat sentiasa menjadi ketetapan parti berkenaan dalam pemilihan untuk memastikan tidak berlaku berpuak-puak.
“Apa yang perlu, pilihlah pemimpin yang berwibawa dan bersih kerana mereka ini bakal menentukan masa depan parti.
“Pilihlah pemimpin yang betul-betul mahu berkhidmat untuk parti dan seterusnya membela nasib ahli, agama, bangsa dan negara.
“Pemilihan yang tepat adalah penting kerana ia akan mencorakkan masa depan parti,” katanya.
Seterusnya, Zulkifli turut mengingatkan bahawa pada setiap pemilihan mungkin ada perbezaan pendapat atau pandangan, namun ia perlulah dianggap sebagai suara ahli-ahli.
“Lontarkan pandangan dan pendapat secara bernas dan profesional.
“Selesai sahaja pemilihan, kita perlu akrab semula dan mengeratkan lagi silaturahim dengan bekerjasama sepenuhnya,” katanya.
Beliau menambah, jika ada rasa tidak puas hati atau protes pada pemilihan itu nanti, ia hendaklah disalurkan melalui cara yang betul kepada pengurusan parti.
“Pemilihan ini antara lain mempertemukan semua ahli parti dalam satu masa dan peluang yang ada ini perlu digunakan untuk memartabatkan lagi parti,” katanya.