GEORGE TOWN – Sebanyak 80 mualaf dari seluruh Pulau Pinang menerima sumbangan wang tunai bagi meringankan beban mereka dalam menghadapi bermulanya tahun 2027.
Sumbangan disampaikan oleh ahli perniagaan, Datuk Seri Syed Mohamad Aidid Syed Murtaza dalam program menyantuni golongan mualaf di Masjid Jamek Simpang Enam di sini.
Selain penyampaian sumbangan tunai, tiga lelaki dan dua wanita turut memeluk Islam dengan melafazkan syahadah pada program berkenaan yang dipimpin sendiri oleh Syed Mohamad Aidid.

Program berkenaan dianjurkan oleh Persatuan Infaq Kebajikan Umah Takaful Pulau Pinang (IKUT) dengan kerjasama jawatankuasa masjid berkenaan. Hadir sama, Penaung IKUT, Zolkifly Md. Lazim.
Syed Mohamad Aidid ketika ditemui memberitahu, jiwa beliau begitu dekat dengan golongan mualaf kerana ibunya adalah berketurunan Cina.
Tambahnya, memandangkan ibunya seorang mualaf, sendikit sebanyak beliau dapat memahami keperluan golongan mualaf.
Pada program tersebut, Syed Mohamad Aidid berkesempatan berucap dalam bahasa Hokkien sambil menggesa golongan mualaf yang telah berikrar melafazkan syahadah, supaya menjiwainya melalui perbuatan yang disuruh oleh Islam.
Sementara itu, bagi Lee Poh Kok, 45, dia peluk Islam setelah memikir panjang mengenai masa depannya selain tertarik dengan rakan-rakan yang sering membantunya apabila dalam kesusahan.
“Apabila saya sakit, saya susah dan sebagainya, ramai yang mula menjauhkan diri.
“Tapi saya yang begitu tertarik kerana ada juga rakan-rakan yang sentiasa mendampingi saya serta membantu semampu mereka,” katanya sambil menyatakan perasaan tenang yang tidak pernah dirasai sebelum ini sebaik sahaja mengucap dua kalimah syahadah.
