ASHGABAT – Seorang saintis mencadangkan idea tentang cara untuk memadamkan api di dalam sebuah kawah yang dikenali dengan nama jolokan sebagai ‘Pintu ke Neraka’ di Chaldzhulba, Turkmenistan baru-baru ini.
Pengarah sebuah institut penyelidikan yang dikaitkan dengan syarikat gas nasional Turkmenistan, Bayrammyrat Pirniyazov berkata, terdapat idea untuk menggerudi telaga baharu di Chaldzhulba.
Pelan itu menetapkan penggerudian telaga baharu untuk mengekstrak gas berlebihan daripada sumber gas di bawah permukaan tanah.
Selepas itu, saintis percaya melalui tindakan itu, kemungkinan api dapat dipadamkan.
Para saintis percaya bahawa tindakan sedemikian mungkin menghalang pelepasan gas yang tidak terkawal ke atmosfera.
Kawah itu telah terbakar selama lebih lima dekad.
Pada Januari 2022, kerajaan Turkmenistan mengarahkan syarikat tenaga di negara itu untuk memadamkan api di kawah tersebut.
Menurut AFP, askar-askar Kesatuan Soviet mula menggerudi kawah itu pada tahun 1971 untuk mengeluarkan gas.
Kawah itu kemudian dibakar untuk mengelakkan orang dan haiwan mabuk gas dengan pakar-pakar menjangkakan api akan padam dalam tempoh beberapa hari.
Namun, perkara tersebut tidak berlaku seperti dirancang.
Disebabkan sebilangan besar lapisan nipis berselang-seli dengan akuifer dan lapisan padat di dalam kawah, api telah terus membakar api selama lebih 50 tahun.
Kawah itu berukuran kira-kira 70 meter lebar dan sedalam kira-kira 20 meter. – Agensi