SEPANG – Seorang penghantar makanan didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW menerusi satu klip video di YouTube minggu lalu.
Hakim, Ahmad Rizki Abdul Jalil menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd. Nor’muzil Mohd Razalli, 39, dan mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Ahmad Rizki berkata, mahkamah menjatuhkan hukuman berat ke atas tertuduh kerana kesalahannya membabitkan sensitiviti agama.
Beliau menegaskan, sebagai umat Islam, tertuduh perlu insaf atas kesalahan dan bertaubat atas apa yang dilakukannya itu.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohd. Nor’Muzil didakwa secara sedar membuat dan memulakan hantaran komunikasi bersifat jelik melalui platform YouTube dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain yang telah dilihat pada pukul 11.15 malam di hadapan sebuah stesyen minyak di Cyberjaya, 16 Julai lalu.
Dia dituduh mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 233(3) akta sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Aling manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Tertuduh juga gagal membayar denda dikenakan dan akan dihantar ke penjara untuk menjalani hukuman selama enam bulan.