MALAYSIA merangkul pingat emas ketujuh menerusi beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah pada Sukan Komanwel 2022 di Birmingham, sebentar tadi.
Lebih manis, pingat emas pasangan tersebut menghadiahkan negara pingat terakhir pada temasya berkenaan sekali gus berjaya menyamai pencapaian kontinjen negara pada temasya di Gold Coast pada 2018.
Pasangan itu menewaskan wakil England, Chloe Birch-Lauren Smith 21-5, 21-8 pada aksi final di National Exhibition Center (NEC), sebentar tadi.
Sebelum itu, perseorangan lelaki, Ng Tze Yong terlepas emas selepas tewas kepada wakil India, Lakshya Sen pada aksi final.
Temasya Sukan Komanwel 2022 bakal menutup tirainya malam ini selepas berlangsung sejak 28 Julai lalu.
Thinaah ketika ditemubual sejurus selepas pertandingan berakhir melahirkan perasaan gembira dengan kejayaan tersebut.
“Saya amat gembira dengan kejayaan ini,” katanya ringkas.