GEORGETOWN – Video dua lelaki dipercayai Melayu dipercayai membeli nasi ayam dari sebuah restoran bukan Islam di Paya Terubong di sini, untuk dijual kepada pelanggan di gerai mereka di Sungai Ara tular hingga mendapat pelbagai reaksi netizen.
Malah, ada yang mendakwa pernah membeli juadah itu di gerai mereka.
Justeru, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor menggesa pihak berkuasa agama Islam negeri ini menyiasat tindakan peniaga terbabit.
Katanya, jika perbuatan peniaga menjual nasi ayam dibeli dari kedai bukan Islam kepada pelanggan Muslim, pelakunya perlu dihadapkan ke mahkamah untuk dikenakan tindakan sewajarnya mengikut undang-undang.
“Pelanggan Muslim menyangka ayam itu sudah disembelih mengikut kaedah hukum syarak serta halal dimakan namun, rupa-rupanya diambil dari kedai orang bukan Islam dan besar kemungkinan tidak halal,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini..
Menurutnya, perbuatan sedemikian adalah berdosa menyebabkan masyarakat Islam memakan ayam yang tak halal kerana sudah menjadi bangkai.
“Ini bertentangan dengan firman Allah SWT di dalam al-Quran.
“Umat Islam diwajibkan makan makanan halal, manakala memakan bangkai diharamkan menurut nas al-Quran,” tegasnya.