SELEPAS mengesahkan berapa di puncak Liga Europa pagi tadi, Arsenal akan berdepan ujian getir apabila berkunjung ke Chelsea Ahad ini dalam mempertahankan kredibiliti mereka sebagai pendahulu Liga Perdana.
Berbaki hanya dua aksi liga sebelum liga ditutup sementara untuk memberi laluan kepada Piala Dunia, Arsenal membuat kejutan dengan mendahului, dua mata di depan juara bertahan, Manchester City.
City dijangka kembali ke kedudukan teratas esok apabila mereka menanti kehadiran Fulham di Etihad, dengan skuad itu menyasarkan untuk terus memberi tekanan kepada Arsenal yang akan beraksi di Stamford Bridge.
Chelsea kini ketinggalan 10 mata dari kedudukan teratas selepas tiga perlawanan tanpa menang dalam liga dan tidak boleh lagi mencicirkan mata jika mahu mencabar gelaran.
Graham Potter mengalami kekalahan pertama sebagai bos Chelsea apabila dibelasah 4-1 ketika kembali ke Brighton hujung minggu lalu.
“Kami baharu sahaja melalui cabaran menakjubkan pada Oktober,” kata pengurus baharu itu selepas kemenangan 2-1 dalam Liga Juara-Juara mengatasi Dinamo Zagreb awal pagi Khamis lalu.
“Kami berada dalam situasi kami perlukan mendapatkan keputusan yang bagus, kami kehilangan pemain utama seperti Wesley Fofana dan Reece James dan ia sedikit menjejaskan kestabilan.
“Bukanlah sesuatu yang mudah untuk mencari penyelesaian, tapi kami mengalami satu kekalahan dalam 11 perlawanan.”
Ada sedikit rasa lega buat Arsenal dan England apabila Bukayo Saka dikatakan sudah pulih daripada kecederaan pergelangan kaki ketika menang 5-0 mengatasi Nottingham Forest yang mencetuskan kebimbangan mengenai penampilannya di Piala Dunia.
Namun Chelsea akan beraksi tanpa pertahanan kiri, Ben Chilwell, yang dikeluarkan pada aksi Rabu lalu kerana kecederaan hamstring yang hampir pasti menyebabkan dia tidak akan ke Qatar.
Liverpool pula terdesak untuk mendapatkan kemenangan di Tottenham untuk kembali ke kelompok empat teratas.
Tottenham pula memerlukan kebangkitan pada babak kedua menetang Marseille bagi mengesahkan kemaraan ke kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara awal pagi Rabu lalu.
Bagaimanapun kemenangan 2-1 itu memberi kesan buat skuad kendalian Antonio Conte dengan Son Heung-min mengalami kecederaan serius di sekitar mata kirinya – dan kelab itu mengesahkan ia perlukan pembedahan bagi mencerahkan harapan pemain Korea Selatan itu ke Piala Dunia.
Tottenham juga sudah kehilangan Dejan Kulusevski dan Richarlison kerana kecederaan menyebabkan beban kini terpaksa ditanggung Harry Kane di depan gawang.
Kekalahan kepada Nottingham Forest dan Leeds dalam dua aksi terakhir liga secara realistik menamatkan cita-cita Liverpool mengejar gelaran dengan Jurgen Klopp mengakui Reds sudah kesuntukan masa mengejar empat kedudukan teratas.
Liverpool kini lapan mata di belakang tempat untuk ke Liga Juara-Juara dengan kedudukan kesembilan liga. – AFP