GEORGETOWN – Ratusan pengunjung yang terkandas selepas perkhidmatan funikular di Bukit Bendera mengalami gangguan pada jam 4 petang semalam.
Kejadian itu tular di media sosial dengan pengunjung merungut berhubung masalah perkhidmatan funikular di Bukit Bendera.
Hantaran itu turut memaparkan penumpang terkandas di stesen bawah dan di puncak bukit tersebut.
Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) dalam kenyataan memohon maaf kepada ratusan pengunjung yang terkandas itu.
PBBPP menjelaskan, hasil siasatan mendapati, berlaku kebocoran pada hos brek trek menyebabkan perkhidmatan funikular tersebut dihentikan.
“Pasukan penyelenggaraan PBBPP memerlukan sedikit masa untuk menggantikan bahagian tersebut sebelum menghidupkan sistem dengan sepenuhnya.
“Kejadian berlaku pada jam 4 petang semalam namun perkhidmatan funikular kembali beroperasi seperti biasa pada jam 6.45 petang,” katanya.
Kata PBBPP, pihaknya berterima kasih kepada Persatuan Penduduk Bukit Bendera dan polus yang pantas menghulurkan bantuan kepada pengunjung ketika kejadian tersebut.
“PBBPP berterima kasih kepada semua pengunjung atas kesabaran mereka terhadap gangguan perkhidmatan. PBBPP juga amat menghargai usaha Persatuan Penduduk Bukit Bendera yang menyediakan perkhidmatan jip, perkhidmatan bas dan polis atas tindakan pantas dalam menangani situasi kecemasan yang berlaku tadi.
“PBBPP kesal dengan kejadiaan yang berlaku dan memohon maaf di atas segala kesulitan yang dialami. Kita amat menghargai kefahaman dan sokongan penduduk serta pengusaha perniagaan,” katanya.