SHAH ALAM – Jalan Batang Kali-Genting Highlands, Hulu Selangor yang ditutup ekoran kejadian tanah runtuh akan dibuka semula esok kepada pengguna jalan raya.
Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam kenyataan hari ini, memaklumkan pembukaan pada pukul 5 petang esok melibatkan Jalan Negeri B66 laluan Batang Kali-Genting Highlands Seksyen 10.4.
Katanya, laluan sementara akan dibuka di laluan berkenaan melibatkan satu lorong dan terhad kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh JKR.
“Syarat itu melibatkan, pekerja di kawasan Genting Highlands yang mempunyai surat pengesahan majikan sahaja dan kelas kenderaan yang dibenarkan adalah kepada kenderaan kelas 1 (kenderaan motokar, teksi dan kenderaan pelbagai guna) dan kenderaan kelas 6 (motosikal dan skuter) sahaja.
“Selain itu, pengguna yang menggunakan laluan tersebut tidak dibenarkan berhenti di kawasan kejadian tanah runtuh,” katanya dalam kenyataan, di sini.
Kosmopolitan sebelum ini melaporkan pengguna jalan raya dinasihatkan menggunakan laluan alternatif susulan kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Jalan Genting-Batang Kali, baru-baru ini.
Laluan Batang Kali-Genting KM15 itu telah ditutup kepada semua kenderaan berikutan kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan di berkenaan.
Dalam pada itu, pengguna jalan raya perlu berhati-hati ketika melalui laluan tersebut dan mematuhi arahan papan tanda yang telah disediakan kerana kerja-kerja pemantauan cerun masih berjalan.
JKR memaklumkan pengguna disarankan untuk menggunakan dua laluan alternatif lain bagi mengurangkan risiko kesesakan di jalan berkenaan.
“Antara jalan alternatif lain yang boleh dilalui adalah Jalan Negeri B23, laluan Ulu Yam – Batu Caves dan Jalan Persekutuan FT001, laluan Kuala Lumpur – Ipoh,” ujarnya.
Orang ramai mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi JKR Hulu Selangor di talian 03-60641046, 03-60641146, 03-60641058 dan 03-60641073.