SHAH ALAM – Lembaga Tabung Haji (TH) perlu bertanggungjawab atas kehilangan wang pendeposit sebanyak RM1.961 juta akibat ditipu scammer.
Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, hasil mesyuarat bersama antara Jawatankuasa Pilihan Khas Kesejahteraan Rakyat dan TH telah memutuskan bahawa kehilangan wang semasa proses dan interaksi pengeluaran wang (debit) dalam akaun TH adalah tertakluk kepada faktor kesiagaan bank berkenaan.
Beliau berkata, aspek kompensasi kepada mangsa penipuan hendaklah diuruskan melalui polisi insuran perbankan itu sendiri.
“Jawatankuasa memutuskan adalah menjadi tanggungjawab utama bank berkenaan agar pendeposit tidak hilang keyakinan kepada mereka.
“Jawatankuasa turut mencadangkan agar tanggungjawab harus diambil oleh pihak bank yang menjadi perantara dalam urusan TH kerana urusan pengeluaran wang simpanan menggunakan perbankan konvensional dan bukannya melalui TH sendiri.
“Pihak bank yang bertanggungjawab wajib menentukan kaedah dan jumlah ganti rugi sekiranya syarat-syarat pengawasan perakaunan bank tersebut telah dibolosi,” katanya.
Rais berkata, TH juga perlu menyediakan laporan atau penyata ganti rugi yang diberikan kepada mangsa penipuan khususnya berkaitan dengan TH agar masalah tersebut dapat dipantau dari semasa ke semasa.
“Keputusan mesyuarat jawatankuasa ini akan diusulkan dalam sidang Dewan Negara akan datang agar isu dan permasalahan yang dihadapi rakyat mendapat perhatian yang sewajarnya,” ujarnya.