MANCHESTER: Manchester United sebelah kaki untuk memburu tiket suku akhir Liga Europa apabila membenam Real Betis 4-1 dalam aksi pertama pusingan 16 akhir di Old Trafford, awal pagi tadi.
Kemenangan itu juga memadam igauan ngeri dimalukan 7-0 oleh Liverpool dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris, Ahad lalu.
Kesungguhan anak-anak buah Erik ten Hag untuk melupakan igauan Liverpool terserlah sejak awal, dan Marcus Rashford membuka jaringan seawal minit keenam.
Pasukan pelawat mencemaskan tuan rumah seketika apabila menyamakan kedudukan 1-1 menerusi Ayoze Perez pada minit ke-32.
Begitupun memasuki babak kedua, United bagaikan sukar dibendung apabila menambah tiga lagi gol.
Antony meletakkan United di depan menerusi penyudah cantik pada minit ke-52, sebelum Bruno Fernandes meledak gol ketiga, enam minit berselang.
Wout Weghorst melengkapkan kemenangan selesa Reds Devils pada minit ke-83, sekali gus memberi bekalan selesa buat United apabila bertandang ke Sepanyol dalam aksi kedua, 17 Mac depan.
“Saya fikir pada babak pertama kami sepatutnya mendahului 3-0, tetapi ia menjadi 1-1. Hanya kerana satu kesilapan kami dihukum.
“Separuh masa kedua lebih baik, terutama gol-gol cantik dan persembahan bagus. Jadi, saya amat bersyukur (menang) selepas apa yang berlaku pada Ahad,” kata Ten Hag. –(Sumber Utusan Malaysia Online)