Empangan Papar perlu diteruskan bagi atasi masalah air di Sabah

PAPAR: Pembinaan sebuah empangan baharu di daerah Papar disifatkan sebagai langkah perlu bagi mengatasi masalah bekalan air yang berlaku di beberapa kawasan di Sabah, ketika ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbahau, Datuk Juil Nuatim, berkata cadangan Empangan Papar yang terletak dalam kawasan yang diwakilinya itu sudah lama dibincangkan.

Katanya, walaupun beliau menyedari cadangan itu mendapat tentangan daripada beberapa pihak termasuk penduduk kampung, ia wajar dilihat sebagai satu penyelesaian kepada masalah bekalan air bersih yang berlaku ketika ini.

“Saya ingat ini sudah lama dibincangkan, puluh tahun sudah dan ia memang amat diperlukan tambahan lagi dalam keadaan sekarang sebab untuk melaksanakan pembangunan kita perlukan air selain elektrik.

“Begitu juga untuk menarik pelabur, pertama mereka akan melihat mengenai air dan elektrik. Kalau tiada bekalan air mana orang mahu datang.

“Jadi saya ingat kita memerlukan empangan itu tetapi ini terpulang kepada kerajaan kerana mungkin ada juga yang menentang,” katanya pada sidang media mengenai sambutan Kaamatan peringkat daerah Papar, di sini, semalam.

Juil berkata, jika empangan itu dibina di Papar, ia bukan saja dapat mengatasi masalah bekalan air termasuk di

daerah ini sendiri, malah kewujudan empangan berkenaan boleh menjadi tarikan baharu.

Katanya, ia bakal memberi kelebihan kepada daerah Papar jika pembinaan empangan berkenaan diteruskan di

daerah ini seperti cadangan yang pernah dibuat sebelum ini.

“Kalau dibina di Papar kita beruntung kerana mungkin ia boleh menarik pelancong seperti di Sarawak. Orang di Sarawak sebelum ini juga membantah pembinaan empangan tetapi sekarang Sarawak maju dan dapat bekalkan tenaga kepada Indonesia serta menarik pelancong.

“Kalau kerajaan masih teruskan pembinaan empangan di kawasan ini walaupun mungkin ada bantahan, ia perlu dilihat secara positif. Bagi saya ia satu keperluan dan saya tiada masalah untuk membantu dalam hal ini,” katanya.

Katanya, rakyat di Sabah ketika ini banyak bercakap mengenai isu bekalan air termasuk di daerah Papar berikutan kapasiti bekalan sedia ada tidak dapat menampung keperluan yang meningkat setiap hari.

Malah katanya, beliau sendiri menerima aduan hampir setiap hari berhubung masalah air di kawasannya, khususnya di Kinarut.

“Masalah air memang teruk termasuk di kawasan industri di Lok Kawi, dekat Kinarut. Industri sangat memerlukan air dan ada pengusaha di sana terpaksa membayar sehingga RM4,000 sebulan membeli air berbanding hanya RM600 sebulan bil air jika tiada masalah bekalan air,” katanya.

Projek Empangan Papar yang dianggarkan bernilai RM3 bilion dicadangkan sejak 2010 namun ditangguhkan berikutan bantahan pelbagai pihak, terutama penduduk di kawasan hulu Sungai Papar yang bimbang kehilangan tanah hak adat anak negeri (NCR) selain pembinaannya didakwa boleh merosakkan alam sekitar.

Apabila siap, empangan itu akan menenggelamkan sebahagian hutan simpan dan kawasan Taman-Taman Sabah di Banjaran Crocker.

Pelaksanaan projek berkenaan adalah fasa akhir rancangan bekalan air untuk kawasan Kota Kinabalu dan daerah sekitarnya dengan jangka hayat operasi empangan untuk memenuhi keperluan penduduk boleh bertahan sehingga 100 tahun.

Beberapa daerah di Sabah termasuk sekitar ibu negeri, Sepanggar, Tuaran, Putatan dan Papar ketika ini berdepan masalah bekalan air berikutan ketidakcukupan kapasiti sedia ada loji rawatan air (LRA) bagi menampung keperluan pengguna. (Sumber Berita Harian Online)

Related Articles

[td_block_social_counter facebook="mykosmopolitan" twitter="tagdivofficial" youtube="tagdiv" style="style8 td-social-boxed td-social-font-icons" tdc_css="eyJhbGwiOnsibWFyZ2luLWJvdHRvbSI6IjM4IiwiZGlzcGxheSI6IiJ9LCJwb3J0cmFpdCI6eyJtYXJnaW4tYm90dG9tIjoiMzAiLCJkaXNwbGF5IjoiIn0sInBvcnRyYWl0X21heF93aWR0aCI6MTAxOCwicG9ydHJhaXRfbWluX3dpZHRoIjo3Njh9" custom_title="Stay Connected" block_template_id="td_block_template_8" f_header_font_family="712" f_header_font_transform="uppercase" f_header_font_weight="500" f_header_font_size="17" border_color="#dd3333" open_in_new_window="y" manual_count_facebook="525"]
- Advertisement -spot_img

Latest Articles