LONDON: Kevin De Bruyne mendahului senarai penerima gaji paling mahal dalam kalangan pemain di Liga Perdana Inggeris (EPL).
Bintang Manchester City berusia 31 tahun itu, dibayar £425,000 (RM2.32 juta) seminggu selepas bersetuju dengan perjanjian baharu bersama juara England itu dua tahun lalu yang akan mengekalkannya di kelab hingga 2025.
Namun siapa lagi bakal memberikan cabaran terhadanya dalam aspek gaji tertinggi?
Menurut L’Equipe, rakan sepasukan De Bruyne, Erling Haaland tersenarai selepas itu.
Pemain Norway berusia 22 tahun itu tampil kali pertama di EPL namun sudah dibayar lebih daripada £400,000 (RM2.19 juta) seminggu untuk khidmatnya.
Dan dia membalasnya buat Man City dengan rekod jaringan menakjubkan, meledak 42 gol daripada 37 aksi membabitkan semua kejohanan.
Pemain ketiga yang dibayar melebihi £400,000 seminggu ialah penjaga gol Manchester United, David de Gea.
Bagaimanapun penjaga gawang Red Devils itu kini sedang kembali berunding untuk perjanjian baharu selepas kontraknya akan tamat pada musim panas.
Dan dia dijangka akan dikenakan potongan gaji sekiranya mahu kekal di Old Trafford.
Pemain tunggal bukan berpangkalan di Manchester yang berada dalam senarai lima teratas ialah bintang Liverpool, Mo Salah.
Penyerang Reds berusia 30 tahun itu menandatangani perjanjian baharu tahun lalu yang akan mengekalkannya di Anfield hingga 2025.
Dia menerima £373,750 (RM2.04 juta) setiap tujuh hari.
Namun yang kelima dan terakhir dalam senarai lima teratas mungkin mengejutkan banyak pihak.
Ketika De Bruyne, Haaland, De Gea dan Salah sudah membuktikan mereka memainkan peranan penting buat kelab, sukar untuk mengatakan perkara sama mengenai pemain Manchester United, Jadon Sancho.
Penyerang England berusia 23 tahun itu hanya memulakan dua aksi EPL sejak Oktober.
Bagaimanapun dia dibayar gaji yang sama dengan Salah – menjadikan dia antara penerima gaji antara terbanyak dalam liga. – (Sumber Berita Harian Online)