Jangan Sebar Aib Rumah Tangga di Media Sosial, Ambil Iktibar Kisah Khaulah binti Tha’labah dalam Al-Quran – Ustaz Muhamad Syaari Ab Rahman

Wanita selalu dikatakan sebagai kaum yang lemah kerana dibandingkan dengan lelaki yang dianggap lebih kuat tenaganya. Pun begitu, hakikatnya dalam al-Quran banyak menceritakan mengenai wanita yang berdaya, kuat semangat dan memberikan kesan bermanfaat untuk agama.

Jurulatih Utama Tadabbur Centre Sdn Bhd, Ustaz Muhamad Syaari Ab Rahman berkata, “Dalam al-Quran ada menyatakan kisah wanita yang diuji dengan pelbagai musibah. Kisah ini ada ibrah untuk sekalian manusia. Apakah maksud ibrah? Ibrah berasal daripada perkataan abara yang bermaksud menyeberang. Maksudnya, daripada cerita yang ada dalam al-Quran ini, anda akan dapati wanita hebat ini menyeberangi masalah mereka. Apabila mereka berjaya menyeberangi masalah yang menjadi ujian dalam kehidupan, maka mereka boleh move on.”

Antara kisah yang cukup bermakna dalam al-Quran adalah mengenai wanita bernama Khaulah binti Tha’labah. Dalam surah Al-Mujadalah, dikisahkan mengenai Khaulah yang diuji dengan sikap suaminya yang tidak bertanggungjawab. Dengan hati penuh keluh kesah, Khaulah berdepan dengan suaminya yang membuatkannya dirundung sedih.

Khaulah diceritakan selalu mengadu dengan Allah Yang Maha Esa mengenai nasibnya. Sedang Khaulah sendiri telah banyak berkorban dengan melahirkan ramai anak untuk membahagiakan suaminya.

Ketika itu, Khaulah merasakan bahawa masalah yang dihadapinya akibat perbuatan suami itu amat besar. Dia diuji dengan ketidakpastian sama ada pernikahannya masih sah atau sudah terbatal. Dia berasa ini berkaitan dengan maruah dirinya sebagai seorang wanita yang juga seorang isteri.

MENCARI RUANG PENYELESAIAN

Wanita hari ini disaran merujuk kepada kisah wanita berdaya dalam al-Quran yang banyak kebaikannya.

Khaulah seterusnya membuat keputusan untuk berjumpa dengan Rasulullah s.a.w. Ketika itu, isteri nabi iaitu Saidatina Aisyah turut memaklumkan mengenai kehadiran Khaulah ke kediaman mereka. Pun begitu, Aisyah hanya terdengar-dengar sebahagian aduan Khaulah. Ada bahagian yang tidak didengari. Menurut Saidatina Aisyah, Khaulah mengadu bahawa dia telah melahirkan ramai anak untuk suaminya, namun apabila usianya telah semakin tua dan tidak boleh mengandung lagi, Khaulah telah diceraikan oleh suaminya dengan cara zihar.

Melalui kisah Khaulah inilah maka kemudian Malaikat Jibrail datang lantas membawa turun ayat al-Quran mengenai hukum zihar dengan perintah Allah.

CARA WANITA HADAPI UJIAN RUMAH TANGGA

Menurut Ustaz Muhamad Syaari, daripada kisah Khaulah yang diceritakan dalam al-Quran ini, ada satu perkara yang sepatutnya wanita jadikan panduan.

“Apabila dilanda masalah dalam rumah tangga, ikutlah seperti Khaulah binti Tha’labah. Apa yang perlu diikut? Jika anda diuji dengan apa-apa jua kisah dalam rumah tangga, rujuklah dengan pihak yang diyakini benar-benar boleh membantu sahaja. Contoh, Khaulah berjumpa terus dengan Nabi Muhammad s.a.w yang memang ada kredibiliti untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Usah jadi seperti ramai individu sekarang yang memilih untuk menguar-uarkannya kepada khalayak ramai terutama media sosial. Keburukannya adalah masalah itu tidak akan selesai sebaliknya menjadi viral dan boleh membuka aib banyak pihak. Malah mengeruhkan lagi keadaan,” tambah Ustaz Muhamad Syaari.

Selain merujuk masalah rumah tangga kepada pihak yang sepatutnya, Khaulah juga mengadu masalahnya kepada Allah Taala. Berdoalah kepada Allah kerana Allah Maha Pendengar. Jangan berhenti berdoa kerana Allah Maha Mengetahui dan boleh memberikan kedamaian kepada hati yang sedang diuji.

Ustaz Muhamad Syaari menyampaikan ceramah yang bertajuk Al-Quran dan Kisah-Kisah Wanita Berdaya pada Majlis Khatam Al-Quran Perdana Wanita Negeri Selangor. Majlis ini dirasmikan oleh Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS), Yang Berbahagia Datin Seri Masdiana binti Muhamad. Turut hadir pada majlis ini ialah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr. Siti Mariah binti Mahmud dan Guru Al-Quran Profesional Kaedah Azdan, Ustazah Aisyah Baain. Majlis dianjurkan oleh Wanita Berdaya Selangor di Dewan Jubli Perak, Seksyen 5, Shah Alam pada Selasa, 11 April 2023 dihadiri lebih 800 peserta.

Datin Seri Masdiana ketika membuat ucapan perasmian.
Datin Seri Masdiana dan Dr Siti Mariah selepas acara penyampaian sumbangan kepada ibu tunggal.
Ustazah Aisyah (berdiri, tengah) bersama sebahagian peserta Majlis Khatam Al-Quran. Ustazah Aisyah memimpin bacaan al-Quran dalam majlis ini.
Sebahagian daripada lebih 800 peserta peserta yang hadir ke majlis.

Related Articles

[td_block_social_counter facebook="mykosmopolitan" twitter="tagdivofficial" youtube="tagdiv" style="style8 td-social-boxed td-social-font-icons" tdc_css="eyJhbGwiOnsibWFyZ2luLWJvdHRvbSI6IjM4IiwiZGlzcGxheSI6IiJ9LCJwb3J0cmFpdCI6eyJtYXJnaW4tYm90dG9tIjoiMzAiLCJkaXNwbGF5IjoiIn0sInBvcnRyYWl0X21heF93aWR0aCI6MTAxOCwicG9ydHJhaXRfbWluX3dpZHRoIjo3Njh9" custom_title="Stay Connected" block_template_id="td_block_template_8" f_header_font_family="712" f_header_font_transform="uppercase" f_header_font_weight="500" f_header_font_size="17" border_color="#dd3333" open_in_new_window="y" manual_count_facebook="525"]
- Advertisement -spot_img

Latest Articles