ATMEH: Puisi, telefon bimbit dan buku nota. Tiga peneman penting sepanjang terlantar lumpuh akibat serangan udara tentera Russia yang menyokong rejim Bashar al Assad ketika dalam perjalanan ke universiti di Aleppo pada 2014.
Dalam kejadian yang mengorbankan lima individu itu, Umar El-Usman, 29, parah apabila serpihan besi menembusi tulang belakang dan membuatkannya lumpuh separuh badan serta meninggalkan kesan luka di belakang badan yang tidak sembuh sehingga ke hari ini.
Sehingga kini satu serpihan besi akibat serangan itu masih ‘tertanam’ berhampiran jantungnya dan menurut doktor jika dikeluarkan, ia boleh mengancam nyawa bekas pelajar undang-undang itu.
Pembedahan sebelum ini berjaya mengeluarkan satu serpihan besi yang menembusi tulang belakang membolehkan Umar menggerakkan tangannya.
“Menghasilkan puisi bertemakan kekejaman perang antara cara saya melepaskan tekanan sejak terlantar sembilan tahun lalu,” katanya yang terus bersemangat mengulang kaji ilmu perundangan termasuk di internet walaupun menyedari kecacatan dialaminya bersifat kekal.
Ketika dikunjungi sukarelawan Aman Palestin di rumahnya, Umar tidak menunjukkan riak kecewa, putus asa atau sedih dengan nasib menimpanya, malah kecacatan tidak menghalangnya daripada terus menambah ilmu.
Umar antara mangsa perang yang menurut Syrian Observatory for Human Rights antara 503,064 hingga 613,407 orang maut dalam tempoh 12 tahun sehingga 15 Mac 2021.
“Buku universiti dan nota juga adalah peneman saya, sikit sebanyak dapat mengurangkan sakit yang tidak pernah kurang kecuali dengan ubat tahan sakit setiap hari,” katanya yang gembira dapat berpuasa penuh setiap hari kerana sakit tulang belakang dialaminya sedikit berkurangan.
Ketika ini Umar perlu bergantung kepada ibunya Fatima Usman, 58, dan bapa, Muhammad Usman, 61, bagi menguruskan diri termasuk mencuci luka di belakang badannya dua kali sehari.
Umar juga memerlukan katil hospital yang boleh membantu pergerakan dan mengurangkan kebergantungan kepada orang lain untuk bangun dan duduk.
Keluarga Umar juga memerlukan sebuah lagi panel solar bagi membolehkan penggunaan elektrik yang lebih tinggi.
Berbeza dengan nasib seorang lagi mangsa serangan udara, Abdullah, 21, yang menghadapi masalah kemurungan apabila insiden itu menyebabkan dia lumpuh akibat kerosakan saraf tunjang.
Berbeza dengan nasib seorang lagi mangsa serangan udara, Abdullah, 21, yang menghadapi masalah kemurungan apabila insiden itu menyebabkan dia lumpuh akibat kerosakan saraf tunjang.
Kejadian di luar rumah di Latamnah, Hama pada Julai 2014 ketika Abdullah berusia 13 tahun telah memusnahkan hidupnya sebagai remaja yang bijak dan rajin belajar.
“Saya bukan seorang yang kuat, saya sentiasa sakit, saya menderita,” katanya yang terlantar di bilik kecil di rumah keluarganya di perkampungan Ataa Humanitarian Relief Association (ATAA) di sini.
Abdullah keberatan berkongsi perasaan, malah lebih banyak mendiamkan diri ketika kunjungan Aman Palestin. Abdullah memerlukan rawatan fisioterapi dua kali seminggu di Qoh. Rawatan itu membantu keadaannya menjadi lebih baik.
Konflik dalaman Syria masih berterusan sejak tercetus awal 2011. Bantahan bermula Januari 2011 dan meningkat kepada tahap kebangkitan pada 15 Mac 2011.
Sementara itu Misi Ramadan Bersamamu dan Bantuan Gempa Bumi di Syria yang berakhir 17 April menyantuni mangsa gempa bumi yang juga pelarian dalaman serta fakir miskin di Jandiris dan Atmeh.
Misi kali ini membawa bantuan keseluruhan bernilai AS$280,000 (RM1.3 juta) yang memanfaatkan 8,500 penduduk.
Daripada jumlah itu, sebanyak AS$100,000 disalurkan untuk bantuan Ramadan, manakala AS$30,000 untuk mangsa gempa bumi dan bakinya sebanyak AS$150,000 untuk pembinaan masjid di Al-bab.
Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi laman jommenyumbang.com.
Sebarang maklumat lanjut boleh hubungi talian 03-89267019 atau layari Telegram Aman Palestin untuk perkembangan terkini. (Berita Harian Online)