Dua beradik lemas ketika berkelah

Gambar Siti Rabiah Johari, 13, (kanan) dan adiknya, Siti Nursalina, 10, (dua dari kanan) bersama ibu, Mersidita Yunos, 46, (kiri) sebelum kejadian lemas di Pantai Awam Tanjung Buloh, Kuala Sedili. (Sumber gambar Berita Harian Online)

KOTA TINGGI: Jeritan “ayah, tolong!” yang masih terngiang-ngiang menjadi kata-kata terakhir didengari Johari Mohd Barjol, 50, bapa kepada dua beradik yang meninggal dunia akibat lemas di Pantai Awam Tanjung Buloh, Kuala Sedili di sini, semalam.

Johari berkata, dalam keadaan kelam-kabut hendak menyelamatkan isteri, dua anak serta anak saudaranya, dia hanya sempat mendengar suara anak keempatnya, Siti Rabiah, 13, yang meminta tolong, namun kelibat anak kelimanya, Siti Nursalina, 10, sudah tidak kelihatan.

Menurut Johari, ketika kejadian itu, isterinya, Mersidita Yunos, 46, pengsan menyebabkan kedua-dua anaknya yang pada mulanya sempat dipegang oleh isterinya, terlepas.

“Kira-kira jam 3 petang, isteri, dua anak dan seorang anak saudara, Saleha Haron, 27, turun semula ke pantai untuk mandi selepas naik sebentar untuk makan.

“Tidak lama kemudian, mereka berempat dilihat seolah ditarik ombak besar dan saya serta orang awam berhampiran terus berlari turun ke pantai untuk menyelamatkan mereka.

“Anak saudara saya sempat saya selamatkan kerana berada tidak jauh, isteri pula mungkin terminum air yang banyak menyebabkan dia pengsan dan dia sebelum itu sudah memegang dua anak, tetapi terlepas.

“Adik (Siti Nursalina) juga dilihat sempat menarik tudung kakaknya (Siti Rabiah), dan saya hanya dengar suara kakak (Siti Rabiah), manakala adik sudah jauh dibawa arus sehingga kelibatnya tidak kelihatan,” katanya.

Johari berkata demikian ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik, Hospital Kota Tinggi (HKT) di sini, hari ini.

Bapa kepada enam anak itu berkata, dia terkilan apabila tidak sempat menyelamatkan dua anaknya itu, selain sedih kerana sebelum itu seolah-olah dapat merasa sesuatu yang tidak baik akan berlaku.

“Memang sekali-sekala saya ada bawa keluarga berkelah dan jika mandi di pantai pun, biasanya saya akan mandi bersama, tetapi tidak tahu kenapa semalam saya seperti tidak sedap hati dan tidak turun mandi bersama mereka.

“Saya tidak sangka kejadian ini berlaku dan meragut dua nyawa anak saya, tetapi saya redha dengan ketentuan ilahi,” katanya sebak.

Bercerita lanjut, Johari berkata, mereka sekeluarga yang tinggal di Sungai Tiram, Johor Bahru bergerak dari rumah kira-kira jam 10 pagi dan sempat singgah di rumah bapa angkatnya di Tanjung Sedili di sini, bagi mengambil anak saudaranya untuk pergi ke Pantai Awam Tanjung Buloh.

Katanya, dua anaknya, Siti Rabiah dan Siti Nursalina turut dilihat sangat seronok sepanjang perjalanan ke pantai berkenaan.

“Mereka berdua memang sangat rapat, itulah kawan bermain, itulah kawan bergaduh. Mereka juga sangat rajin dan selalu bantu jaga adik bongsu mereka berusia tiga tahun,” ceritanya.

Johari sempat memaklumkan isterinya yang kini masih dirawat di wad HKT kerana memerlukan bantuan oksigen, sedih apabila dimaklumkan kehilangan dua cahaya mata mereka, tambahan pula tidak dapat melihat mereka dikebumikan.

Jenazah dua beradik itu dimandi dan dikafankan di Unit Perubatan Forensik, HKT selepas selesai menjalani proses bedah siasat sebelum disembahyangkan di Masjid An-Nur, Kampung Batu 4 di sini.

Kedua-dua jenazah itu kemudian selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 4, Jalan Lombong di sini, kira-kira jam 11.15 pagi tadi.

Semalam, Siti Rabiah ditemui lemas pada jam 4 petang, pada jarak 50 meter daripada pantai, manakala mayat adiknya, Siti Nursalina ditemui orang awam pada jam 4.15 petang, 15 meter daripada dia didapati lemas. (Sumber Berita Harian Online)

Related Articles

[td_block_social_counter facebook="mykosmopolitan" twitter="tagdivofficial" youtube="tagdiv" style="style8 td-social-boxed td-social-font-icons" tdc_css="eyJhbGwiOnsibWFyZ2luLWJvdHRvbSI6IjM4IiwiZGlzcGxheSI6IiJ9LCJwb3J0cmFpdCI6eyJtYXJnaW4tYm90dG9tIjoiMzAiLCJkaXNwbGF5IjoiIn0sInBvcnRyYWl0X21heF93aWR0aCI6MTAxOCwicG9ydHJhaXRfbWluX3dpZHRoIjo3Njh9" custom_title="Stay Connected" block_template_id="td_block_template_8" f_header_font_family="712" f_header_font_transform="uppercase" f_header_font_weight="500" f_header_font_size="17" border_color="#dd3333" open_in_new_window="y" manual_count_facebook="525"]
- Advertisement -spot_img

Latest Articles