PETALING JAYA: “Saya siap cakap dalam hati, siapa mamat ni tiba-tiba mengaku pernah bercinta dengan aku? Kenal pun tak.”
Demikian penegasan penyanyi, Syura, berhubung seorang lelaki dikenali sebagai Zaki Jinggo dari Kuantan, Pahang, yang mengaku pernah bercinta dengan dirinya.
Pengakuan itu menjadi tular selepas sebuah video dimuat naik dalam media sosial sehingga mengundang perhatian ramai.
Syura atau nama penuhnya Syura Badron berkata, dia menerima kiriman video tersebut daripada beberapa kenalan dan sudah menontonnya.
“Mula-mula memang saya terkejut apabila mendengar cerita yang disampaikan lelaki itu.
“Tetapi selepas habis mendengar perbualannya, teringat suatu masa dahulu pada 2001 ketika lagu Kasih Tidak Terjamah menjadi siulan, saya pernah buat persembahan di Kuantan.
“Pada masa itu, saya ada mengajak seorang peminat naik ke pentas untuk menyanyi bersama saya.
“Mungkin Abang Zaki ini adalah peminat itu berdasarkan cerita yang didedahkan dalam video tersebut,” jelas Syura.
Syura berkata, lelaki itu agak dikenali di Kuantan memandangkan personalitinya yang ramah dan sering hadir ke acara-acara hiburan terutamanya melibatkan persembahan nyanyian.
“Saya ada terbaca beberapa komen di entri video itu dan ramai cakap, Abang Zaki ini memang selalu kelihatan di sana.
“Ada yang kata dia suka menyanyi dan mengikut komen individu lain, mereka mendakwa Abang Zaki ni ‘tak sihat’.
“Jadi saya fahamlah apa yang warganet maksudkan dan anggap pendedahan Abang Zaki sebagai hiburan kerana ia melucukan. Saya pun ada tunjuk video ini kepada suami, dia pun ketawa mendengar ceritanya.
“Apapun, saya minta maaf kepada Abang Zaki kerana ‘kenakalan’ saya semasa berumur 15 tahun ketika itu membuatkannya teringat-ingat hingga sekarang,” ujar Syura. (Sumber Utusan Malaysia online)