PETALING JAYA: Bekas perdana menteri keempat dan ketujuh, Tun Dr. Mahathir Mohamad memfailkan saman berjumlah RM150 juta terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dakwaan bahawa dia mengumpul kekayaan peribadi ketika berkuasa.
Memetik laporan Free Malaysia Today, bekas Ahli Parlimen Langkawi itu menuntut ganti rugi am RM50 juta dan teladan sebanyak RM100 juta.
Mahathir mendakwa kenyataan itu dibuat oleh Anwar atas kapasitinya sebagai perdana menteri yang membawa kesan lebih teruk terhadap imej Mahathir berbanding kenyataan sama yang dibuat rakyat biasa.
Pada 17 April lalu Mahathir dilaporkan akan meneruskan tindakan undang-undang selepas Anwar tidak mematuhi surat tuntutan agar membuat permohonan maaf terhadapnya berhubung dakwaan yang dibuat semasa ucapan dasar di Kongres Nasional Khas PKR 2023, pada 18 Mac lepas.
Bagaimanapun, Anwar tidak menyebut nama Mahathir tetapi merujuk tempoh pemerintahannya berkata, “Ada orang sekarang, setelah 22 tahun, campur 22 bulan jadi berkuasa, sekarang mengeluh.”
Dalam ucapan sama, Anwar mendakwa individu berkenaan tidak membayar cukai dan memindahkan kekayaannya ke luar negara.
Menurut Mahathir, dakwaan Anwar itu jelas terhadap dirinya kerana laporan media mengenai ucapan itu menyebut namanya.
Dalam pada itu, Anwar juga pernah mengulas beliau akan memberikan bukti kepada Mahathir berhubung dakwaan bekas perdana menteri itu telah mengumpul kekayaan untuk memperkayakan dirinya ketika berkuasa atau berdepan tindakan undang-undang. (Sumber Utusan Online)