Ibu model Belanda, Ivana Smit teruskan saman terhadap KPN

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menetapkan Oktober tahun depan untuk mendengar kes saman dikemukakan ibu kepada model warga Belanda, mendiang Ivana Esther Robert Smit, terhadap Ketua Polis Negara dan tiga yang lain.

Kes saman difailkan Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen, 59, berhubung dakwaan polis gagal melaksanakan tanggungjawab dan cuai ketika menjalankan siasatan kematian anak perempuannya.

Ivana ditemukan mati di kondominium di Persiaran Capsquare pada 7 Disember 2018

Ivana ditemukan mati pada 7 Disember 2018 di balkoni sebuah unit kediaman di tingkat enam kondominium di Persiaran Capsquare di sini, selepas terjatuh daripada tingkat 20.

Peguam Christina, Datuk Sankara Nair berkata, Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain menetapkan 14 hingga 16, 21 hingga 23 dan 28 hingga 30 Oktober serta 4 hingga 6, 11 hingga 13, dan 18 hingga 20 November 2024 bagi tarikh perbicaraan.

Dalam pengurusan kes hari ini, Christina diwakili peguam Jaden Phoon Wai Ken manakala Peguam Kanan Persekutuan, Norfauzani Mohd Nordin dan Mohd Radzi Ab Razak bertindak bagi pihak defendan.

Pada 20 November 2020, Christina memfailkan saman itu dengan menamakan Ketua Polis Negara, pegawai penyiasat, Asisten Superintenden Faizal Abdullah; Menteri Dalam Negeri; dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama hingga keempat.

Bagaimanapun, pada 21 April 2021, Mahkamah Tinggi membatalkan saman Christina dengan alasan pernyataan tuntutannya selaku plaintif tidak mematuhi Perintah 18, Peraturan 7 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

Di peringkat rayuan, Mahkamah Rayuan pada 7 Februari 2022, membenarkan rayuan Christina dan memerintahkan saman berkenaan dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk didengar merit kes saman terbabit.

Dalam pernyataan tuntutannya, Christina berkata, beliau tidak dapat menerima dapatan defendan termasuk pegawai penyiasat pertama, menutup kes kematian anaknya sebagai ‘kematian atas sebab semula jadi atau bunuh diri’.

Katanya, defendan membuat keputusan dengan tergesa-gesa tanpa membuat siasatan menyeluruh daripada semua aspek dan mengambil kira laporan bedah siasat, kimia dan sebagainya sehingga melanggar prosedur operasi standard (SOP) dan amalan terbaik dalam penyiasatan.

Pada 8 Mac 2019, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Ivana disebabkan ‘misadventure’ (kematian akibat nahas) dan tiada elemen jenayah, ia diketepikan Mahkamah Tinggi pada 22 November 2019, dan mengarahkan Jabatan Peguam Negara (AGC) meminta polis menyiasat punca kematian model berusia 19 tahun itu. (Sumber Harian Metro Online)

Related Articles

[td_block_social_counter facebook="mykosmopolitan" twitter="tagdivofficial" youtube="tagdiv" style="style8 td-social-boxed td-social-font-icons" tdc_css="eyJhbGwiOnsibWFyZ2luLWJvdHRvbSI6IjM4IiwiZGlzcGxheSI6IiJ9LCJwb3J0cmFpdCI6eyJtYXJnaW4tYm90dG9tIjoiMzAiLCJkaXNwbGF5IjoiIn0sInBvcnRyYWl0X21heF93aWR0aCI6MTAxOCwicG9ydHJhaXRfbWluX3dpZHRoIjo3Njh9" custom_title="Stay Connected" block_template_id="td_block_template_8" f_header_font_family="712" f_header_font_transform="uppercase" f_header_font_weight="500" f_header_font_size="17" border_color="#dd3333" open_in_new_window="y" manual_count_facebook="525"]
- Advertisement -spot_img

Latest Articles