PETALING JAYA: Skuad bawah 23 tahun (B-23) negara perlu menjadikan Kejohanan AFF B-23 yang akan berlangsung di Thailand pada Ogos depan sebagai medan untuk menebus maruah selepas aksi hambar di Sukan SEA Kemboja baru-baru ini.
Skuad kendalian E. Elavarasan diundi bersama pemenang pingat emas Sukan SEA Kemboja, Indonesia dan satu lagi pasukan iaitu Timour Leste dalam Kumpulan B, sekali gus akan menyaksikan pertembungan menarik untuk melihat pasukan mana menjadi juara kumpulan.
Pada Sukan SEA Kemboja lalu, skuad ‘Harimau Muda’ tersingkir seawal peringkat kumpulan, sekali gus mengecewakan peminat bola sepak tempatan yang rata-rata menaruh harapan untuk melihat mereka beraksi di pentas final dalam temasya dwitahunan itu.
Bekas jurulatih Harimau Muda, Azraai Khor Abdullah berkata, di atas kertas skuad B-23 negara mempunyai peluang untuk layak ke peringkat seterusnya namun, perlu berwaspada dan mengelak apa yang berlaku di Sukan SEA Kemboja berulang.
“Kita kena bangkit, sebab itu saya kata ini peluang untuk kita tebus maruah apa yang berlaku di Sukan SEA. Paling penting kita tengok siapa dalam kumpulan kita. Kita akan lawan juara Sukan SEA namun kita juga kena berhati-hati dengan Timor Leste.
“Mereka (Timor Leste) bukan lagi pasukan belasahan. Tengok atas kertas, kita ada harapan. Namun, kadang-kadang, apa yang kita rancang tidak menjadi, contohnya di Sukan SEA. Sebelum itu kita menang Merlion Cup di Singapura.
“Sebaliknya lain yang berlaku di Kemboja, kita pergi dengan harapan menggunung tetapi, kecewa. Jadi, kita tidak mahu perkara ini berulang dan perisapan rapi juga perlu dilakukan untuk memantapkan pasukan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ini adalah kali ketiga berturut-turut skuad B-23 negara dan ‘Garuda Muda’ akan berentap seawal peringkat kumpulan selepas diundi dalam kumpulan sama bagi edisi 2019 dan 2022.
Sementara itu, juara bertahan, Vietnam diundi dalam Kumpulan C bersama Filipina dan Laos manakala Kumpulan A pula menampilkan Thailand, Kemboja, Brunei dan Myanmar.
Pada edisi 2022 di Kemboja, Malaysia tersingkir di peringkat kumpulan apabila tewas dua kali kepada Laos selepas hanya dua pasukan kekal bertanding memandangkan Myanmar dan Indonesia menarik diri ketika pandemik Covid-19.
Dalam masa yang sama, Azraai berharap skuad B-23 negara akan menampilkan skuad terbaik di kejohanan berkenaan termasuk membawa pemain-pemain yang tidak tersenarai ke Sukan SEA Kemboja.-(Sumber Utusan Malaysia Online)