POISSY, Perancis: Luis Enrique dilantik sebagai pengendali baharu Paris Saint-Germain untuk kontrak dua tahun, dengan persoalan tentang masa depan Kylian Mbappe membayangi hari perlantikannya.
Bekas pengendali Barcelona berusia 53 tahun itu, yang menjadi ejen bebas sejak dipecat Sepanyol pada Disember, menggantikan Christophe Galtier.
Enrique diperkenalkan dalam satu majlis bersama presiden kelab, Nasser al-Khelaifi di kompleks latihan baharu mereka di Poissy.
“Saya gembira dapat menyertai Paris untuk menikmati pengalaman baharu. Saya amat teruja untuk bertemu orang baharu, tinggal di kota ini, mempelajari bahasa baharu dan paling penting, membimbing PSG,” kata Enrique.
Bagaimanapun pengendali itu cuba mengelak daripada menjawab persoalan berkenaan masa depan Mbappe.
Khelaifi sebaliknya menegaskan, Mbappe, 24, perlu menandatangani kontrak baharu sekiranya dia mahu terus kekal di PSG musim depan.
“Situasinya amat jelas. Jika Kylian mahu kekal, dia perlu tandatangan kontrak baharu. Kami tidak boleh biarkan pemain terbaik di dunia hari ini pergi secara percuma. Ia mustahil,” kata Khelaifi. – (Sumber Berita Harian Online)