Kuala Lumpur: Bekas penyampai radio, Ismahalil Hamzah meluahkan rasa syukur kerana dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan mengedar dadah di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.
Isma yang sebelum ini terbabit satu tuduhan mengedar dadah jenis kanabis anggaran berat 374.6 gram, dua tahun lalu berkata, kebebasan ini adalah kerana kasih sayang Allah serta doa keluarga serta sahabat-sahabatnya.
“Hanya Allah yang tahu perasaan saya. Saya yakin, kebebasan ini adalah kerana kebenaran dan kasih sayang Allah kepada saya. Juga kasih sayang dan doa kawan-kawan kepada saya. Saya yakin, doa kalian adalah sesuatu yang kuat untuk saya,” katanya kepada Harian Metro.
Isma, 50, berkata, tempoh dua tahun berada di dalam penjara banyak memberi pelajaran baharu buat dirinya.
“Hampir dua tahun saya di penjara, hari ini, saya dapat rasa kebebasan dan berjumpa isteri serta anak saya. Banyak sangat saya belajar sepanjang tempoh ini.
“Tak mungkin saya dapat kongsikan dalam seminit dua di sini. Terima kasih kepada wartawan-wartawan yang menghebahkan berita sebelum ini. Itu adalah kebenaran dan hak semua orang untuk tahu.
“Insya-Allah, saya akan adakan majlis doa kesyukuran,” katanya.
Mengikut pertuduhan, Ismahalil didakwa mengedar kanabis seberat 374.6 gram di rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju, 5.35 petang 27 Ogos 2021.
Berikutan itu, pendakwaan mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Sepanjang prosiding perbicaraan pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad manakala Ismahalil diwakili peguam Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar. (Sumber Harian Metro Online)