KUALA LUMPUR: Selepas berteka-teki, pelakon Mawar Rashid akhirnya mengesahkan dia dan pasangannya, Raf Yaakob membuat keputusan untuk berpisah berikutan tiada lagi persefahaman.
Kenyataan itu dibuat Mawar, 28, menerusi hantaran dalam Instagram (IG) Stories (IGs), hari ini.
“Kami bersetuju berpisah atas dasar tiada lagi persefahaman.
“Bagaimanapun, hubungan saya dengan Raf masih lagi baik dan akan terus kekal begitu.
“Fokus kami menyokong dan memberikan kasih sayang yang diperlukan buat anak-anak,” tulisnya.
Kata Mawar, dia dan Raf akan berusaha menjalankan tanggungjawab sebagai ibu bapa yang baik walaupun selepas berpisah.
Pelakon drama Villa Kristal itu turut memohon agar pihak media memahami keadaan mereka dan menerima kenyataan dibuat menerusi platform media sosial itu.
“Kami berharap pihak media dapat menghormati keputusan kami.
“Kepada pengikut, kami berharap anda dapat mendoakan yang baik-baik buat kami. Harap tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan cerita negatif.
“Kami sangat terkesan dan menyesal terpaksa berkongsi berita ini dengan anda semua.
“Tetapi, ini adalah yang terbaik untuk kami. Terima kasih kerana sentiasa menyokong kami dengan ayat-ayat baik.
“Kami benar-benar menghargainya,” tulis Mawar lagi.
Spekulasi pergolakan rumah tangga pasangan itu timbul selepas Mawar membuat keputusan tidak lagi berhijab, awal bulan lalu.
Menguatkan lagi dakwaan apabila Mawar dilihat memadam gambar bersama suaminya. Difahamkan, mereka sepatutnya hadir ke mahkamah syariah, semalam.
Mawar atau nama sebenar, Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid dan Raf mendirikan rumah tangga pada 9 November 2017.
Hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata, Raden Muhammad, 4, Raden Seri Rosabella Cinta, 2, dan Raden Seri Riyanna Sayang, 10 bulan.
Raf atau nama sebenarnya, Raden Ahmad Faizal Yaakob sebelum ini pernah berkahwin dan memiliki dua cahaya mata menerusi perkahwinan terdahulu. (Sumber Berita Harian Online)