KUALA LUMPUR: Penyanyi Khai Bahar terkilan tidak dapat menatap wajah ibu, Allahyarham Rosnah Muhammad, 62, yang meninggal dunia dalam tidur, malam tadi, buat kali terakhir.
Khai berkata, dia mendapat berita duka pemergian insan tersayang ketika berada di Langkawi.
“Saya dan beberapa rakan pergi ke Langkawi. Sejurus dapat berita pemergian emak, saya terus cari bot balik ke Perlis.
“Atas pertolongan rakan, saya berjaya dapatkan bot dan tiba di rumah di Kangar, kira-kira jam 2 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi BH Online.
Awal pagi tadi, peminat dikejutkan dengan berita pemergian Allahyarham Rosnah yang menghembuskan nafas terakhir dalam tidur, kira-kira jam 10.40 malam tadi.
Khai cukup terkejut dengan pemergian ibu dan fikirannya kosong.
“Fikiran saya kosong… Tiada apa yang boleh saya katakan lagi. Saya masih terkejut dengan pemergian emak,” katanya.
Allahyarham Rosnah yang baru meraikan ulang tahun ke-62 pada 25 Disember lalu, menghidap pelbagai penyakit seperti buah pinggang, jantung, paru-paru dan hati.
Allahyarham Rosnah mula menjalani rawatan dialisis sejak awal tahun lalu. Arwah pernah dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas sesak nafas.
Sementara itu, jenazah Allahyarham Rosnah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tok Paduka, Kangar, pada jam 12.15 tengah hari tadi.
Pengurus Khai, Mohammed Rizal Mohammed Yasin, berkata pengebumian dipercepatkan berikutan semua urusan selesai.
Terdahulu, Mohammed Rizal memuat naik hantaran Instagram Story (IGs) menyatakan jenazah Allahyarham Rosnah sudah dibawa ke Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail, Kangar, untuk dimandi dan disolatkan.
“Pengebumian jenazah dipercepatkan disebabkan semua urusan siap. Jadi, kami awalkan (pengebumian) sebelum solat Zohor,” katanya. (Sumber Berita Harian Online)