KUALA LUMPUR: Pemain sayap Harimau Malaya, Arif Aiman Hanapi meraih tonik terbaik menjelang kempen Piala Asia 2023 apabila namanya terus mendapat perhatian dunia.
Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Persekutuan Antarabangsa Sejarah dan Statistik Bolasepak (IFFHS), pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu berada di tangga ke-19 sebagai penjaring gol terbaik peringkat antarabangsa bagi 2023.
Arif meledak sembilan gol untuk berkongsi kedudukan itu bersama pemain Manchester United, Bruno Fernandes dan Patson Daka dari Leicester City.
Dia yang juga pemenang anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia (Liga M) 2021 dan 2022 meledak tiga gol bersama kelab dalam pertandingan peringkat antarabangsa dan enam gol bersama pasukan kebangsaan.
Seorang lagi pemain Harimau Malaya, Darren Lok yang beraksi bersama Sabah berada di kedudukan ke-38 dengan mengumpul lapan gol.
Penyerang berusia 32 tahun itu menjaringkan dua gol bersama Harimau Malaya selain meledak enam gol buat skuad Badak dalam saingan Piala AFC.
Lima kedudukan teratas dalam senarai itu dihuni pemain ternama dunia dengan Romelu Lukaku yang mengumpul 22 gol berada di tangga pertama.
Bintang Manchester City, Erling Haaland di kedudukan kedua dengan 18 gol diikuti Mehdi Taremi (14 gol), manakala Kylian Mbappe dan Cristiano Ronaldo berkongsi tempat keempat dengan 13 gol. (Sumber Berita Harian Online)