Johor Bahru: “Saya perlu dihantar ke hospital psikiatri untuk rawatan lanjut mulai hari ini.
“Semoga peminat dapat terus memberi sokongan terhadap aktiviti seni (saya) selepas ini,” ujar vokalis Kumpulan Exists, Mamat atau nama sebenarnya Mohd Ali Kamaruddin, 46.
Perintah itu dikeluarkan Majistret Mahkamah Majistret Johor Bahru, Hidayatul Syuhada Shamsudin di sini terhadap Mamat semasa pendakwaan bagi dua pertuduhan di sini, hari ini.
Mamat yang diiring keluar mahkamah memaklumkan dia sedang hadapi kes mengikut 39C Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu peguamnya, Azlina Abdul Aziz berharap anak guamnya diberikan peluang kedua.
Katanya, Mamat ditahan polis pada 7 Januari lalu ketika bersama seorang rakan pada jam 2 pagi di Taman Perling.
Semasa ditahan dan diperiksa, anak guamnya itu bebas bahan terlarang. Namun dia berada dalam senarai kehendaki berikutan kes lama berkaitan dadah pada tahun 2019.
“Kita doakan untuk Mamat. Hari ini, dia akan dihantar di Hospital Permai untuk rawatan. Untuk pengetahuan, Mamat sudah 10 tahun menghidap penyakit mental. Dalam tempoh itu Mamat makan ubat dan dapatkan suntikan ubat.
“Kita tunggu laporan pakar pada 20 Februari depan untuk tarikh keputusan laporan perubatan psikiatri. Saya percaya Mamat boleh (berubah). Kita tahu Mamat banyak kes dadah, tetapi (saya) percaya peluang kedua.
“Kes yang didakwa Mamat pada hari ini adalah kes lama yang sebelum ini diberi jaminan polis. Akan tetapi (kes) tidak diteruskan (sebelum ini) atas sebab pegawai penyiasat mengalami kemalangan teruk dan tidak lagi berkhidmat dengan PDRM,” katanya. (Sumber Harian Metro Online)