JOHOR BAHRU: Kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim diyakini membawa kestabilan dan kemakmuran berterusan negara.
Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, Aminolhuda Hassan, berkata kebijaksanaan dan ketegasan Sultan Ibrahim sememangnya dikagumi ramai pemimpin negara terutama dalam memayungi Kerajaan Johor.
“Sebagai rakyat Johor, saya berbangga apabila Sultan Ibrahim ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 hari ini.
“Sultan Ibrahim sudah pasti mampu menyatukan rakyat pelbagai kaum di negara ini apatah lagi kestabilan dan perpaduan amat penting untuk pembangunan ekonomi dan menarik pelabur luar.
“Sultan Ibrahim juga sudah pasti memberikan peluang kepada Kerajaan Perpaduan untuk mengambil tindakan dan membanteras rasuah yang turut menjadi visi dan misi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan keberangkatan Sultan Ibrahim ke Hangar Diraja Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) untuk ke Istana Negara, hari ini.
Terdahulu, Aminolhuda yang juga Pengerusi AMANAH Johor bersama ribuan rakyat menunggu di Jalan Skudai berhadapan Kampung Pasir menunggu dan melambai rombongan diraja ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai.
Sultan Ibrahim akan mula bersemayam di Istana Negara, hari ini bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17 untuk tempoh lima tahun.
Sultan Ibrahim menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Yang di-Pertuan Agong Ke-16 yang menamatkan tempoh pemerintahan baginda, semalam.
Dalam pada itu, Ketua Pemuda MCA, Ling Tian Soon, optimis Sultan Ibrahim akan membawa kestabilan negara ke era baharu khususnya politik negara.
Sambil menjunjung kasih di atas pertabalan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17, Tian Soon yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor turut yakin Sultan Ibrahim akan memperkukuhkan hubungan membawa halatuju negara yang jelas khususnya sektor ekonomi negara. “Hubungan diplomatik yang baik antara Yang di-Pertuan Agong dan negara luar diyakini akan membawa masuk lebih banyak pelaburan ke negara ini sekali gus membawa kemakmuran kepada negara dan rakyat,” katanya. (Sumber Berita Harian Online