GEORGE TOWN – Setiap kali mendengar azan, menimbulkan pertanyaan kepada Teo Yeow Siong, 34, mengenai erti azan berkenaan kerana ia dilaungkan lima kali setiap hari.
Juga menimbulkan pertanyaan, apabila setiap kali azan, ramai orang berduyun-duyun ke masjid dan surau.
“Sejak sekian lama saya tertanya-tanya erti azan itu. Saya juga melihat begitu ramai orang Islam yang bergegas ke masjid dan surau sebaik sahaja mendengar azan.
“Begitu unik erti azan itu, yang memanggil orang Islam supaya menunaikan solat. Azan itu juga membawa erti supaya penganut agama Islam sentiasa mengingati Allah SWT.
“Malah, langkah beramai-ramai ke masjid dan surau itu merapatkan tali persaudaraan. Sebab itu saya diberitahu bahawa setiap orang Islam adalah bersaudara,” katanya selepas mengucapkan dua kalimah syahadah di sebuah restoran di bawah program Komtar Bersyahadah anjuran Persatuan Infaq Kebajikan Umah Takaful Pulau Pinang (IKUT).
Yeow Siong yang sebelum ini bekerja sebagai tukang masak, melafazkan syahadah yang dipimpin oleh bekas Pengarang Berita Utusan Malaysia, Amir Sarifudin Mansor sambil disaksikan oleh Penaung IKUT, Zolkifly Md. Lazim.
Menurutnya, sebelum bersyahadah dia telah memaklumkan kepada ibu bapanya yang berusia 57 dan 64 tahun dan meraka tidak menghalangnya.
“Saya juga bergitu gembira apabila diberitahu bahawa seorang muslim perlu menjaga ibu bapa mereka walaupun mereka berlainan agama. Malah disuruh berlemah lembut dan bersopan santun dengan ibu bapa,” katanya yang mengakui tenang sebaik sahaja mengucapkan dua kalimah syahadah.
Sementara itu, seorang lagi saudara baharu, Ooi Chin Huat, 59, melafazkan syahadah yang dipimpin oleh Zulkifli Yahaya yang merupakan Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Kedah.
Chin Huat berkata, dia sudah bertahun-tahun berhasrat untuk memeluk agama Islam ketika tinggal dan bekerja di Johor.
“Saya juga begitu tertarik apabila mendengar azan dan melihat ramai orang Islam bergegas ke masjid dan surau.
“Malah, saya kerap melihat sebelum atau selepas mereka solat, mereka bersalaman antara satu sama lain walaupun tidak mengenali nama masing-masing,” katanya yang kini sedang mencari pekerjaan sesuai.
Chin Huat berkata, dia mengambil keputusan berhijrah ke Pulau Pinang untuk mencari pekerjaan yang sesuai.
“Kehidupan kini kian sukar terutama untuk mendapatkan pekerjaan sesuai. Saya lihat rakan-rakan orang Islam begitu bersemangat dan tidak berputus asa walaupun mereka dalam kesusahan namun perkara solat mereka tetap kerjakan,” katanya.