GEORGE TOWN – Hilang arah tuju hingga menyebabkan dia cuba ‘menamatkan’ riwayat hidupnya sendiri namun ajalnya belum tiba.
“Pertama, saya terjun dari Jambatan Pulau Pinang 15 tahun lalu, namun tak semena-mena air di situ tolak saya naik ke atas hingga saya dihanyutkan ke Pulau Jerejak sebelum diselamatkan polis marin. Perbuatan saya terjun jambatan itu menyebabkan saya didenda.
“Kemudian saya terjun dari tingkat tujuh sebuah bangunan. Saya sepatutnya jatuh di atas lantai tetapi ketika itu seolah-olah ada angin yang tolak saya lalu jatuh di atas bumbung tempat letak motosikal. Tangan dan kaki saya patah manakala beberapa buah motosikal rosak. Saya terlantar di hospital tetapi nyawa saya masih panjang,” kata Loh Teik Heng, 60, menceritakan kehidupannya sebelum mengucapkan dua kalimah syahadah dan memilih Islam sebagai cara hidup.
Menceritakan lebih lanjut, Teik Heng berkata, perbuatannya itu kerana kekesalan berikutan isteri berusia 29 tahun serta anak lelaki berusia 12 tahun terbunuh apabila kereta dipandunya merempuh sebuah bas di Tanjung Malim pada 1997.
Jelasnya, dia berasa sangat bersalah apabila kehilangan ahli keluarga sejak kemalangan itu dengan kehidupannya kemudian menjadi tidak tentu arah.
Sejak kejadian itu, semua perniagaan termasuk rumah dan kereta dijual bagi menampung kehidupan hinggakan dia hidup sebatang kara.
Teik Heng kemudian melibatkan diri sebagai pastor selama lapan tahun bagi mencari ketenangan.
Suatu ketika, Teik Heng mengenali sebuah keluarga di Kampung Melayu di sini yang dianggapnya sebagai keluarga angkat.
“Saya sesekali tinggal di rumah keluarga berkenaan.
“Saya tertarik apabila keluarga itu sering berkumpulan dengan tuan rumah akan membacakan hadis-hadis dengan pengertian kepada ahli keluarganya. Saya begitu tertarik dengan kandungan hadis yang dibacakan.
“Dari situ baru saya faham mengenai Islam dan bahawa hidup dan mati ini hanya Allah SWT yang tentukan.
“Walaupun terjun jambatan atau lompat dari bangunan tinggi namun hidup dan mati hanya Allah tentukan. Malah perbuatan menamatkan riwayat sendiri dilarang dalam Islam dan ia bukan jalan keluar atau penyelesaian.
“Nyawa saya masih panjang kerana yakin bahawa Allah hendak memberitahu saya sesuatu dan sayang pada hambaNya,” katanya.
Teik Heng mengucapkan syahadah yang dipimpin oleh Penaung Persatuan Infaq Kebajikan Umah Takaful Pulau Pinang (IKUT), Zolkifly Md. Lazim dalam program Dakwah Jalanan, Komtar Bersyahadah.
IKUT adalah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif menyantuni serta membantu golongan mualaf di Pulau Pinang.
Antara program IKUT termasuk solat berjemaah, ceramah, kelas fardu ain dan kifayah serta beberapa aktiviti lain.
Teik Heng seterusnya berkata, dia kini berasa lebih tenang dan tenteram sebaik sahaja mengucapkan syahadah.
“Yang perlu kini, saya mahu belajar banyak perkara dalam Islam termasuk kisah-kisah berkaitan hadis,” katanya sambil tersenyum.
