7 DIS : Pasangan merpati dua sejoli, Uqasha Senrose dan Kamal Adli akhirnya membuka mulut dan mengakui telah melangsungkan pernikahan pada 5 November lalu.
Menurut laporan Utusan Online, kedua-dua aktor dan aktres tersebut difahamkan telah melangsungkan pernikahan dalam sebuah majlis tertutup pada tarikh berkenaan.
Pasangan mempelai dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Nik Sen Mat Ripin di sisi jurunikah Tuan Izzuddin Abdul Mutalib tepat jam 9.39 pagi.
Pada majlis bertemakan dalam taman itu, Kamal atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Ahmad Adli, 35, menyerahkan wang tunai RM22.50 sebagai mas kahwin.
Uqasha atau nama sebenarnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 29, menerima tujuh dulang hantaran berbalas tujuh daripada pihak Kamal.
Dalam majlis yang diadakan seawal 7.30 pagi itu, beberapa wajah popular turut menjadi saksi upacara pernikahan mereka antaranya adik-beradik Uqasha, Idayu, Datin Nina Juren dan Michael Ang.