fbpx

157,000 dos penggalak percuma di Selangor

7 DIS: Sebanyak 157,000 dos penggalak bagi vaksin Covid-19 akan diberikan secara percuma kepada penduduk di Selangor mulai Rabu di bawah Program SelVax Booster, kata Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata, penduduk di negeri itu berumur 18 tahun dan ke atas yang telah lengkap menerima dua dos vaksin boleh mendapatkan dos penggalak dengan hadir terus (walk-in) ke klinik Selcare berhampiran.

“Senarai klinik Selcare yang terlibat dalam pelaksanaan program SelVax Booster boleh didapati dalam laman sesawang https://selcareclinic.com/our-clinic/ atau melalui aplikasi SELangkah,” katanya pada sidang media di Shah Alam hari ini.

Orang ramai bagaimanapun dinasihatkan untuk mendaftar terlebih dahulu melalui aplikasi SELangkah untuk mendapatkan dos penggalak tersebut bagi mengelakkan kesesakan di klinik berkenaan.

Beliau berkata, dos penggalak yang diberikan adalah jenis Sinovac, yang sesuai diterima oleh mana-mana individu yang menerima apa jua jenis vaksin sebelum ini.

“Dos ini untuk memberikan imunisasi yang lebih kepada masyarakat…keterbuktian dan keberkesanannya mungkin ada kelebihan masing-masing (bagi setiap jenis vaksin) tapi yang nyata Sinovac juga terbukti mampu mengekang risiko yang lebih parah terhadap mereka yang dijangkiti Covid-19,” katanya kepada Bernama.

Amirudin berkata, semua maklumat penerimaan vaksinasi dos penggalak melalui program SelVax Booster akan dihantar oleh klinik terlibat melalui aplikasi MySejahtera.

Pada masa yang sama, beliau berkata, program tersebut akan turut dilaksanakan di beberapa lokaliti tertentu berdasarkan permintaan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri di seluruh Selangor.

Selain itu, kerajaan negeri akan turut melanjutkan Program Pengurusan Covid-19 Assessment Centre dan Pemantauan Pesakit Yang Menjalani Kuarantin Kendiri Melalui Aplikasi SELangkah bagi memperkukuh respons terhadap pandemik tersebut.

“Melalui sistem ini, pesakit berjaya dinilai dalam tempoh masa yang pantas untuk dirujuk bagi rawatan lanjut melalui kaedah telekesihatan atau kemasukan ke pusat kuarantin dan hospital bagi mencegah kematian di rumah (brought-in-dead) dalam tempoh kuarantin,” katanya.

Sehingga 26 November, sebanyak 616,980 rekod pemantauan pesakit telah dilaksana melalui sistem SELangkah dan berjaya mengenal pasti 38,809 kes dengan status kesihatan pesakit merosot semasa menjalani isolasi di rumah.

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles