fbpx

Indonesia penentu nasib Harimau Malaya

BUKAN salah strategi tetapi pemain terlalu menghormati pasukan lawan.

Selain itu, para pemain juga menampilkan corak permainan lebih berhati-hati pada babak pertama permainan.

Ini antara alasan Tan Cheng Hoe selepas Malaysia dimalukan dengan kekalahan 0-3 kepada Vietnam pada aksi ketiga Piala AFF Suzuki 2020 di Stadium Bishan malam tadi.

Kekalahan terbesar kepada Vietnam sejak tahun 2016 itu menyebabkan Malaysia terperosok di tangga ketiga Kumpulan B.

Vietnam, Indonesia dan Malaysia berkongsi enam mata tetapi Harimau Malaya bermain lebih satu perlawanan berbanding dua lagi pencabar terdekat itu.

Kini, Malaysia perlu menunggu keputusan perlawanan antara Indonesia dan Vietnam di Stadium Bishan pada 15 Disember ini sebelum mengatur strategi yang lebih sempurna.

Jika perlawanan itu dimenangi Vietnam, anak-anak buah Park Hang-seo akan mengumpul 9 mata untuk menghuni tangga teratas kumpulan.

Jika sebaliknya, Vietnam dijangka tidak berdepan masalah untuk membelasah Kemboja pada perlawanan terakhir mereka.

Jadi, Malaysia tidak ada pilihan lain selain terpaksa menewaskan Indonesia pada perlawanan terakhir di Stadium Nasional Singapura pada 19 Disember ini.

Pada perlawanan malam tadi, mimpi ngeri skuad kendalian Cheng Hoe itu bermula pada minit ke-24 apabila kapten dan pemain pertahanan, Aidil Zafuan Radzak terpaksa dibawa keluar setelah mengalami kecederaan.

Cheng Hoe terpaksa membawa masuk Dominic Tan untuk menggantikan tempat Aidil Zafuan tetapi pemain kelahiran Singapura itu dilihat gagal menjalankan tugasnya dengan baik untuk mengetuai benteng pertahanan Harimau Malaya.

Dominic Tan juga gagal mewujudkan persefahaman bersama tiga lagi pemain pertahanan negara iaitu Rizal Ghazali, Shahrul Saad dan Syahmi Safari.

Nguyen Quang Hai tidak menunggu lama untuk meledakkan gol pembukaan menerusi satu rembatan kaki kiri yang kencang pada minit ke-32.

Empat minit kemudian, Nguyen Cong Phurong menyumbat gol kedua sebelum Nguyen Hoang Durc melengkapkan kemenangan bergaya Vietnam pada minit ke-89. 

Kekalahan ini menyukarkan peluang Harimau Malaya untuk melayakkan diri ke separuh akhir, sekali gus mengulangi pencapaian terbaik selaku juara pada tahun 2010.

Secara keseluruhannya, Vietnam bermain lebih baik berbanding Malaysia.

Selain menampilkan corak permainan berpasukan yang menarik, anak-anak buah Hang-seo itu juga memiliki kemahiran individu yang tinggi.

Mereka bijak mengatur strategi dan tidak kekok mengawal bola untuk mengkucar-kacirkan benteng pertahanan Harimau Malaya.

Sepanjang babak pertama, 58 peratus permainan dikuasai Vietnam. 

Mereka juga membuat enam percubaan tepat ke arah gawang skuad negara dan berjaya memperoleh dua gol manakala Harimau Malaya hanya melakukan dua percubaan tepat ke pintu gol Vietnam.

Malaysia cuba bangkit pada babak kedua untuk menguasai permainan sebanyak 47 peratus tetapi hanya mampu merekodkan enam percubaan tepat berbanding Vietnam yang memperoleh 11 percubaan tepat ke pintu gol Harimau Malaya yang dikawal Khairul Fahmi Che Mat.

Guilherme de Paula yang dibawa masuk pada minit ke-46 untuk menggantikan tempat Luqman Hakim Shamsudin juga gagal melakukan impak di posisi serangan.

Penyerang naturalisasi negara ini hanya memperoleh satu peluang terbaik untuk menjaringkan gol sepanjang babak kedua.

Selepas kekalahan ini, Cheng Hoe mempunyai masa tujuh hari untuk mempersiapkan pasukan sebelum menghadapi perlawanan ‘hidup mati’ menentang Indonesia.

Selain berharap Aidil Zafuan, Shahrul dan Junior Eldstal pulih daripada kecederaan, Cheng Hoe juga pasti menarik nafas lega dengan kehadiran Dion Johan Cools.

Pemain negara yang beraksi dalam saingan Liga Denmark tersebut mempunyai kebolehan untuk beraksi di beberapa posisi antaranya pertahanan dan tengah.

Kehadiran Cools juga akan meredakan sedikit tekanan Cheng Hoe terutamanya setelah skuad negara berdepan krisis kekurangan pemain setelah empat pemain didapati positif Covid-19.  

Previous article
Next articleHarimau Malaya tak lekang dek kontroversi

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles