SESI persekolahan penggal ketiga 2021/2022 bagi sekolah Kumpulan A yang dijadualkan bermula pada 2 Januari ditangguhkan semunggu kepada 9 Januari susulan banjir besar yang melanda negara ketika ini.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, dalam video di laman Facebook hari ini berkata, keputusan itu dibuat berikutan situasi banjir semasa memberi kesan kepada murid, ibu bapa dan guru, sama ada secara langsung atau tidak, manakala sejumlah sekolah juga terjejas teruk atau menjadi pusat pemindahan sementara (PPS).
“Kementerian Pendidikan (KKM) cakna dengan kebajikan guru, murid dan ibu bapa ini, ini tempoh yang amat sukar untuk semua pihak.
“Kita faham mereka perlukan masa untuk siapkan keperluan sebelum mulakan sesi persekolahan. Kita doakan yang terbaik untuk mangsa,” katanya.
Beliau berkata, maklumat lanjut berhubung perkara itu akan diumumkan menerusi kenyataan media.
Sebelum ini, Kementerian Pendidikan (KPM) menetapkan sesi penggal ketiga akan bermula pada 2 Januari 2022 bagi sekolah Kumpulan A dan 3 Januari 2022 bagi Kumpulan B.
Pengumuman terkini KPM menyaksikan sesi persekolahan Kumpulan B bagi penggal ketiga 2021/2022 akan bermula pada Ahad, 10 Januari 2022.