4 JAN: Tiga fenomena air pasang besar diramalkan berlaku di negara ini, bermula awal Januari hingga awal bulan depan.
Pengarah Bahagian Pengurusan Sumber Air dan Hidrologi, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Azmi Ibrahim, berkata fenomena itu bermula 2 hingga 5 Januari, diikuti 18 hingga 21 Januari, dan 31 Januari hingga 3 Februari depan.
Beliau berkata, paras air laut yang tinggi sekali gus menjadi faktor berlaku banjir air pasang besar.
“(Air pasang besar) memang akan menenggelami kawasan yang rendah sekiranya tidak diberi perlindungan,” katanya dalam program wawancara ‘Malaysia Petang Ini’ terbitan Bernama TV, semalam.
Beliau berkata, antara perlindungan yang biasa dilakukan ialah membangunkan penghadang di sepanjang pantai bagi mengelak air pasang besar yang akan menyebabkan banjir di kawasan persisiran pantai.
“Suasana akan menjadi lebih buruk sekiranya pada masa sama, paras air sungai itu tinggi disebabkan hujan lebat.
“Air sungai tidak dapat mengalir ke laut dan bertembung dengan air laut yang tinggi, menyebabkan berlaku pertembungan yang boleh menyebabkan banjir,” katanya. – BERNAMA