10 JAN: Polis mengkompaun seorang pengurus sebuah pasar raya di Lumut susulan tular gambar pelanggan berebut mendapatkan barangan promosi tanpa penjarakan fizikal di media sosial semalam.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, terdahulu tular dua video masing-masing berdurasi 30 dan 11 saat yang dimuat naik oleh pemilik Facebook ‘We are Malaysian’ yang memaparkan orang ramai bersesak dan berebut bagi membeli barangan minuman yang dijual murah.
“Siasatan polis mendapati kejadian itu berlaku di sebuah pasar raya di Jalan Medan Sejahtera, Jalan Lumut, Sitiawan, antara pukul 9 hingga 9.30 pagi pada Jumaat lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nor Omar memberitahu, pasukan polis bersama Pejabat Kesihatan Daerah Manjung memanggil pihak pengurusan pasar raya tersebut untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan mengenai kejadian itu.
Menurut beliau, satu kompaun bernilai RM1,000 dikeluarkan terhadap pengurus pasar raya itu kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penjarakan fizikal pengunjung di dalam premis di bawah Akta 342.
Nor Omar menasihatkan orang ramai agar terus mematuhi SOP yang telah dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) kerana pandemik Covid-19 masih belum berakhir.