BALING: Bencana banjir dan kepala air di Kampung Iboi, Kupang memakan tiga korban dengan mayat terakhir ditemui 11.55 pagi tadi.
Mayat mangsa, Khairul Ikhwan Nor Azman, 14, ditemui dalam keadaan baik dan tiada kesan kecederaan manakala ibu serta kakak iparnya yang dihanyutkan arus kepala air ditemui dalam keadaan berpelukan kira-kira 100 meter dari lokasi rumah mereka runtuh.
Mayat Nurul Anis Abu Hassan, 28, yang hamil empat bulan ditemui bersama ibu mentuanya, Salmah Mat Akib, 53, jam 9.30 pagi di bawah timbunan batang pokok yang turut dihanyutkan arus deras.
Dalam kejadian hujan lebat berterusan semalam telah menyebabkan banjir kilat melanda beberapa kawasan di Baling dengan sekurang-kurangnya 20 rumah penduduk mengalami kerosakan.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang semalam, yang disifatkan banjir terburuk di daerah itu, tiga beranak berkenaan dipercayai tidak sempat menyelamatkan diri selepas rumah mereka terkena arus deras air dari arah bukit.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Sayani Saidon berkata, mayat mangsa ketiga ditemui tidak jauh dari kedudukan dua mayat sebelum ini dikesan pada jam 9.30 pagi.
“Mayat mangsa ketiga turut ditemui di bawah timbunan kayu sebelum operasi mengeluarkannya dilakukan pasukan penyelamat.
“Berikutan itu semua mangsa yang dilaporkan hilang dalam kejadian semalam, berjaya ditemui dalam operasi hari ini,” katanya.