PETALING JAYA – Penyanyi yang terkenal dengan lagu Mimpi Laila, Muhammad Yasin Sulaiman terlepas daripada hukuman gantung sampai mati apabila pertuduhan mengedar ganja terhadapnya sebelum ini digugurkan.
Ia susulan keputusan Mahkamah Majistret di sini hari ini melepas tanpa membebaskan selebriti daripada tuduhan mengedar dadah berbahaya jenis ganja anggaran berat 214 gram, Mac lalu.
“Alhamdulillah, saya mengikut proses dan peruntukan undang-undang sedia ada dan saya amat bersyukur dengan keputusan ini.
“Tidak lupa juga ucapan terima kasih saya kepada rakan dan keluarga yang banyak memberikan sokongan, merekalah sumber kekuatan utama saya,” katanya kepada media ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Majistret di sini, pada Rabu.
Sementara itu, abang Yasin, Zain Sulaiman, 50, berkata, mereka sekeluarga bersyukur dengan keputusan Mahkamah Majistret hari ini biarpun adiknya itu tidak dapat beraya bersama pada Aidiladha nanti.
“Kami semua bersyukur dengan perkembangan kes ini, walaupun Aidiladha ini kami tidak dapat beraya dengannya, namun Alhamdulillah, kami lega dengan perkembangan kes yang Yasin hadapi ini.
“Saya harap rakan-rakan, teman akan terus mendoakan untuk Yasin,” katanya.
Bagaimanapun tuduhan miliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952, dikekalkan.
Jika sabit kesalahan, Muhammad Yasin boleh dipenjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun penjara dan tidak kurang 10 sebatan.