KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melancarkan platform i-Lindung di bawah Pelan Perlindungan Ahli yang membolehkan ahli membeli produk insurans dan takaful menerusi Akaun 2.
Tawaran i-Lindung memudahkan pembelian produk insurans dan takaful merangkumi perlindungan hayat dan penyakit kritikal pada premium yang berpatutan.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, platform yang diperkenalkan KWSP itu dapat membantu ahli mendapatkan perlindungan bagi menghadapi situasi yang tidak diduga dan di luar kawalan.
Menurutnya, harga yang ditawarkan juga amat berpatutan dan tidak akan membebankan ahli menerusi syarikat insurans dan pengendali takaful yang disediakan dalam platform KWSP.
“Ini merupakan satu titik tolak yang penting bagi melindungi rakyat Malaysia serta keluarga masing-masing daripada risiko kematian, kehilangan upaya secara menyeluruh dan penyakit kronik.
“Pelan tersebut dapat menggantikan pendapatan atau menyediakan simpanan tambahan sekiranya ahli menghadapi sebarang musibah. Paling penting, perlindungan ini boleh diperoleh dengan sumbangan premium berjumlah beberapa ringgit sebulan menerusi syarikat insurans dan pengendali takaful dalam platform KWSP,” katanya pada majlis perasmian i-Lindung hari ini.
Platform layan diri i-Lindung, yang boleh diakses pada bila-bila masa, membolehkan ahli mendapatkan maklumat produk sedia ada berserta harga dan memperoleh sebut harga sebelum melakukan pembelian pada bila-bila masa, di mana juga.
Paparan tunggal polisi/sijil yang telah dibeli juga akan disertakan, seterusnya memudahkan ahli untuk merujuknya dengan pantas dan selamat.
Untuk nilai tambah, syarikat insurans dan pengendali takaful di platform i-Lindung mampu menyediakan perlindungan tambahan dan menyesuaikan harga produk mereka mengikut kemampuan ahli.
Tiada pemeriksaan perubatan diperlukan.
Sementera itu Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata, Pelan Perlindungan Ahli adalah satu lagi kejayaan KWSP menyediakan saluran perlindungan sosial dan keselamatan kewangan kepada ahlinya sekira berlaku sebarang perkara yang tidak diingini.
“Perlindungan melalui insurans/takaful adalah antara komponen utama bagi kesejahteraan kewangan yang KWSP menggalakkan ahli untuk mendapatkannya bagi melindungi mereka daripada ketidaktentuan kewangan.
“Kemudahan i-Lindung amat bermanfaat untuk ahli KWSP untuk mendapatkan perlindungan insurans/takaful kerana pihak KWSP bersama-sama pihak syarikat insurans dan pengendali takaful ingin memastikan produk yang ditawarkan kepada ahli adalah pada kadar yang sangat mampu milik,” katanya.
Ahli di bawah umur 55 tahun yang mempunyai baki yang mencukupi dalam Akaun 2, warganegara Malaysia dan pengguna i-Akaun layak untuk membeli produk di bawah i-Lindung.
Mereka yang berumur 55 tahun ke atas juga boleh membeli produk di bawah i-Lindung, dengan syarat mereka berada dalam lingkungan umur kelayakan produk berkaitan serta mengekalkan jumlah minimum RM100 dalam Akaun 55 atau Akaun Emas.