Empat ahli keluarga pergi serentak dikebumi satu liang lahad

BUKIT MERTAJAM: Jenazah empat beranak yang terkorban dalam nahas tujuh kenderaan di Lebuhraya Utara-Selatan, dekat Ipoh, Perak, semalam selamat dikebumikan dalam satu liang lahad.

Jenazah pesara polis, Koperal, Rahim Ramli, 60 tahun, dan isteri, Siti Petimah Omar, 59 tahun, serta dua anak mereka iaitu Nor Hadirah, 28 tahun, dan Nor Hamizah, 27 tahun, disemadikan di Tanah Perkuburan Masjid Jamek Permatang Pasir, Pulau Pinang, kira-kira jam 3.15 pagi tadi.

Anak bongsu mangsa, Muhamad Hazman Rahim berkata, dia yang menjalani latihan industri di sebuah syarikat di Perlis dihubungi seorang lagi kakaknya, Nor Fatini, 22, memaklumkan kejadian tersebut.

“Pada ketika itu saya tengah buat kerja yang kemudian kakak (Nor Fatini) sambil menangis memberitahu bahawa mak dan ayah serta dua lagi kakak kami sudah tidak ada (meninggal dunia).

“Sedih, sebab sekali pergi bukan satu, bukan dua, bukan tiga tetapi empat terus hingga saya hilang kata-kata,” rintihnya.

Dalam pada itu Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pemandu treler berusia 34 tahun yang terbabit dalam kemalangan itu telah ditahan bagi membantu siasatan.

Katanya, siasatan kes lelaki itu dibuat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu.

Menurutnya, semakan dilakukan mendapati, lelaki terbabit turut mempunyai 13 rekod kesalahan saman trafik dari tahun 2008 hingga 2021.

Beliau berkata, siasatan mendapati, treler bermuatan kosong yang dalam perjalanan dari arah Taiping ke Bukit Beruntung itu telah merempuh kenderaan dinaiki mangsa dari arah belakang.

Katanya, rempuhan mengakibatkan kereta jenis Proton Persona dinaiki empat sekeluarga itu mengelongsor ke hadapan lalu melanggar lima lagi kenderaan lain.

“Pemandu kereta, seorang lelaki berusia 60 tahun, isterinya yang duduk di hadapan dan dua anak perempuan mereka yang duduk di bahagian penumpang belakang telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Kejadian turut menyebabkan lima kenderaan lain mengalami kerosakan teruk, namun semua pemandu dan penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Related Articles

[td_block_social_counter facebook="mykosmopolitan" twitter="tagdivofficial" youtube="tagdiv" style="style8 td-social-boxed td-social-font-icons" tdc_css="eyJhbGwiOnsibWFyZ2luLWJvdHRvbSI6IjM4IiwiZGlzcGxheSI6IiJ9LCJwb3J0cmFpdCI6eyJtYXJnaW4tYm90dG9tIjoiMzAiLCJkaXNwbGF5IjoiIn0sInBvcnRyYWl0X21heF93aWR0aCI6MTAxOCwicG9ydHJhaXRfbWluX3dpZHRoIjo3Njh9" custom_title="Stay Connected" block_template_id="td_block_template_8" f_header_font_family="712" f_header_font_transform="uppercase" f_header_font_weight="500" f_header_font_size="17" border_color="#dd3333" open_in_new_window="y" manual_count_facebook="525"]
- Advertisement -spot_img

Latest Articles