fbpx

Aset Petronas dirampas, Malaysia bertindak balas terhadap waris Kesultanan Sulu

SHAH ALAM – Kerajaan Malaysia telah berjaya mendapatkan perintah perundangan hari ini apabila Mahkamah Rayuan Paris membenarkan permohonan Malaysia untuk menggantung penguatkuasaan ‘final award’ bertarikh 28 Februari lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kesan daripada perintah penggantungan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Rayuan Paris itu, ‘final award’ tidak boleh dikuatkuasakan di mana-mana negara.

Menurutnya, penggantungan itu adalah sehingga keputusan muktamad oleh Mahkamah Paris berkenaan dengan permohonan pembatalan ‘final award’ yang dibuat oleh kerajaan Malaysia.

“Final award yang telah dikeluarkan oleh Dr Gonzalo Stampa (Perintah Penggantungan) berikutan tuntutan oleh pihak-pihak yang mendakwa sebagai waris dan ‘successors-in-interest’ kepada Sultan Jamalul Kiram II (penuntut) melalui satu prosiding timbang tara antarabangsa di Madrid, Sepanyol.

“Asas keputusan Mahkamah Rayuan Paris adalah ‘final award’ tersebut akan menjejaskan kekebalan kedaulatan Malaysia.

“Perintah penggantungan itu adalah hasil daripada pelbagai tindakan perundangan yang diambil oleh kerajaan Malaysia bermula dari tuntutan tersebut difailkan bagi menamatkan segala tuntutan dan memastikan agar kepentingan, kekebalan kedaulatan dan kedaulatan Malaysia sentiasa dilindungi dan terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Akhbar Financial Times semalam melaporkan aset dua anak syarikat PETRONAS di Azerbaijan dirampas oleh waris kesultanan Sulu, yang menuntut AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) daripada Malaysia.

Peguam pihak yang menuntut dilaporkan merampas aset Petronas yang didaftarkan di Luxembourg, iaitu Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus, dengan nilai dilaporkan mencecah lebih AS$2 bilion (RM8.8 bilion).

Pada 11 Julai 2022, dua syarikat subsidiari Petronas di Luxembourg telah dimaklumkan mengenai penguatkuasaan ‘final award’ melalui penyerahan notis yang dikeluarkan oleh Mahkamah Luxembourg.

Bagaimanapun katanya, Petronas sebagai sebuah syarikat akan mengambil tindakan perundangan yang perlu untuk mempertahankan kedudukannya di bawah undang-undang.

“Kerajaan Malaysia menegaskan bahawa ia tidak pernah mengiktiraf tuntutan tersebut dan tidak pernah mengetepikan kekebalan kedaulatannya sebagai sebuah negara berdaulat.

“Berikutan itu, kerajaan Malaysia telah mengambil tindakan-tindakan perundangan di Madrid, Sepanyol.

“Ia termasuklah membuat permohonan bagi pengiktirafan dan penguatkuasaan perintah deklarasi dan injunksi bagi memberhentikan prosiding timbang tara di Sepanyol yang telah dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Sabah pada 14 Januari 2020, iaitu permohonan bagi membatalkan pelantikan penimbang tara dan permohonan untuk mengetepikan ‘Partial Award on Jurisdiction’ bertarikh 25 Mei 2020 yang dikeluarkan oleh Dr Stampa,” jelasnya.

Jelas Wan Junaidi, berikutan tindakan-tindakan perundangan yang telah diambil oleh kerajaan Malaysia, Mahkamah Tinggi Madrid, Sepanyol pada 29 Jun 2021 telah membatalkan pelantikan penimbang tara Dr Stampa yang memutuskan semua prosiding timbang tara dan apa-apa keputusan Dr Stampa, termasuk ‘final award’ adalah tidak sah, terbatal dan tidak boleh dikuatkuasakan di bawah undang-undang.

Dr. Stampa juga katanya, tidak menghormati dan tidak mempedulikan keputusan-keputusan Mahkamah di Madrid dan sebaliknya memindahkan tempat prosiding timbang tara (seat of arbitration) ke Paris.

“Pada 29 September 2021, pihak penuntut telah memperoleh ‘Perintah Exequatur’ secara ‘ex parte’ daripada Tribunal de Grande Instance di Paris, Perancis yang telah mengiktiraf ‘partial award’ yang dikeluarkan pada 25 Mei 2021 dan dengan itu, membenarkan Dr. Stampa memindahkan tempat prosiding timbang tara ke Paris.

“Kerajaan Malaysia telah mencabar ‘Perintah Exequatur’ yang diperoleh secara ex parte tersebut dan telah berjaya memperoleh perintah penggantungan bertarikh 16 Disember 2021 daripada First ‘President of the Paris Court of Appeal’.

“Ini bermakna, pihak penuntut terhalang daripada bergantung pada ‘Perintah Exequatur’ yang diperoleh pada 29 September 2021. Bertentangan dan bercanggahan dengan perintah penggantungan tersebut, penuntut mengekalkan kedudukan dan pendirian bahawa ‘Perintah Exequatur’ tersebut berkuat kuasa dan ‘final award’ telah dikeluarkan di tempat timbang tara di Paris, Perancis,” jelasnya.Pada masa sama, prosiding jenayah terhadap Dr Stampa juga difailkan oleh kerajaan Malaysia bagi kesalahan menghina mahkamah di Mahkamah Jenayah di Madrid dan prosiding bagi perkara ini masih berjalan.

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles